Jaminan hak kerakyatan, keselamatan penting bagi pelarian Rohingya

KUALA LUMPUR: Persetujuan tentang penghantaran pulang pelarian Rohingya ke tanah air mereka yang dicapai antara Myanmar dan Bangladesh perlu menjelaskan tentang isu berkaitan kewarganegaraan dan jaminan keselamatan, sebelum ia boleh dilaksanakan.

Bekas Duta Khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi Myanmar Tan Sri Syed Hamid Albar berkata perkara itu penting bagi memastikan pelarian Rohingya akan mendapat layanan sama rata sebagai rakyat Myanmar dan diberi kepastian tentang wujudnya perlindungan bagi mereka.

"Butiran terperinci dan penjelasan tentang persetujuan itu merupakan suatu prasyarat kerana ketika ini terdapat terlalu banyak kelemahan dan ketidakpastian. Sekurang-kurangnya, libatkanlah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan pasukan pengaman lain di sana untuk menyelia dan melindungi  mereka.

Jika keadaan seperti  sekarang terus wujud, saya ingin menasihati para pelarian supaya jangan pulang ke Myanmar dan mereka perlu tolak cadangan itu," katanya kepada media selepas merasmikan persidangan khas tentang Rohingya anjuran Majlis Rohingya Malaysia (MRM) di sini hari ini.

Baru-baru ini, terdapat laporan bahawa Bangladesh dan Myanmar mencapai persetujuan tentang penghantaran pulang pelarian Rohingya dalam masa dua tahun, yang prosesnya akan bermula pada 23 Jan ini.

Ketika ini terdapat kira-kira 700,000 pelarian Rohingya di Bangladesh.

Syed Hamid, yang juga bekas menteri luar, berkata penempatan pelarian di kem sementara, yang dinyatakan dalam perjanjian itu, juga boleh dipertikai.

"Mengapakah mereka hanya diberi penempatan yang setara dengan kem tahanan di mana mereka tidak boleh bergerak secara bebas di tanah air sendiri dan kem itu juga perlulah dilengkapi sistem sanitasi dan pembetungan sewajarnya. Tiada maklumat terperinci diberi tentang keadaan kem berkenaan," kata beliau.

Sementara itu, anggota Majlis Penasihat Kebangsaan MRM Jen (B) Tan Sri Mohd Azumi Mohamed berkata sekiranya Kerajaan Myanmar benar-benar ikhlas untuk menangani isu Rohingya, ia perlu melaksanakan  syor bekas Setiausaha Agung PBB Kofi Annan.

"Bagi menunjukkan keikhlasan dan niat baiknya, Myanmar perlu menyatakan secara terbuka ia akan melaksankaan cadangan tersebut, buatlah begitu sebagai langkah untuk membina keyakinan terlebih dahulu, kemudian barulah kepercayaan  akan timbul," katanya.

-- BERNAMA



Sumber Jaminan hak kerakyatan, keselamatan penting bagi pelarian Rohingya

Post a Comment

Previous Post Next Post