Janna dan Ajak, pengacara baru Melodi. (Pic: Chempaka Nur Iman)
Sepanjang 24 tahun bersiaran, Melodi melalui proses evolusi yang menyaksikan perubahan wajah pengacara termasuk gandingan hos baru, pelakon popular Janna Nick dan pelawak yang juga penyampai Hot FM, Ajak Shiro.
Nama kedua-dua figura seni yang mempunyai kelompok peminat tersendiri itu diumumkan TV3, sekali gus menggantikan dua pengacara senior iaitu Awal Ashaari dan AG atau Muhammad Azmir Selamat.
Pengurusan TV3 dalam kenyataan medianya memaklumkan perubahan itu dilaku bagi memastikan memastikan Melodi sentiasa mengikuti aliran terkini yang mampu menarik lebih ramai penonton muda.
Malah pihak penerbitan menaruh keyakinan tinggi terhadap populariti Janna Nick yang juga bintang My Coffee Prince serta Ajak terus mampu meletakkan program hiburan terbabit sebagai rancangan nombor satu.
“Gandingan dua selebriti sensasi yang berpotensi besar dalam bidang pengacaraan bagai memberikan warna segar kepada Melodi selain pengisian segmen baru termasuk isu tular di laman sosial dan media,” katanya.
Terdahulu, ramai peminat tertanya-tanya siapa yang bakal mengisi ruang kosong yang ditinggalkan Awal dan AG sekali gus turut kedengaran nama Janna menjadi sebutan sejak bulan lalu hingga akhirnya persoalan itu terlerai.
Sebagai rekod, Awal mengundurkan diri daripada program terbabit selepas enam tahun bergelar pengacara manakala AG pula mengambil keputusan berkenaan selepas tiga tahun menggalas tugas itu.
Sebelum ini, Melodi pernah dikendalikan ramai nama besar termasuk Fauziah Datuk Ahmad Daud, Datuk Aznil Haji Nawawi, Raja Azura serta Fara Fauzana.
Sumber Janna, Ajak Mampu Tarik Ramai Penonton Muda Melodi