'Kepalanya terbelah, saya tadah otaknya dengan tangan dan anak pandang muka saya tetapi kosong' - Ibu mangsa

Foto (kanan) Majalah Remaja
Ibu kepada mangsa yang maut dihempap kerusi pejabat yang dibaling dari tingkat atas kediaman pangsapuri (PPR) di Pantai Dalam tidak dapat menahan kesedihan kejadian yang menimpa anaknya itu. 
Kasthuribai a/p M. Sattayappan, 45, berkata, kejadian itu berlaku di depan matanya sendiri dalam kejadian semalam di Flat PPR Seri Pantai (Blok 102, Jalan Pantai Dalam, Kuala Lumpur. 
Menceritakan semula kejadian itu, Kasthuribai berkata, dia bersama mendiang anak bongsunya, Satiswaran turun ke bawah flat PPR berkenaan kerana anaknya mahu membeli kad tambah nilai untuk membuat kerja sekolahnya. 
Namun begitu, kad tambah nilai yang dimahukannya itu tidak ada. Mendiang Satiswaran kemudian mendekati ibunya secara berhadapan di hadapan lif dan secara tiba-tiba sebuah kerusi yang dipercayai dibaling dari tingkat 21 menghempap kepala mangsa sehingga terbelah. 
Foto Majalah Remaja
"Ketika itulah otaknya terburai. Saya tadah dengan kedua belah tangan. Anak memandang muka saya tepat, tetapi kosong. Dia kemudian rebah di depan mata saya, lalu saya menjerit meminta tolong," katanya. 
Kasthuribai yang masih trauma dengan kejadian itu, berulang kali berkata mengapa anaknya dibunuh sedangkan anaknya hanyalah budak kecil yang tidak pernah mengacau orang. 
Ahli keluarga mangsa - Foto Majalah Remaja

Ibu dan abang kepada mangsa - Foto Majalah Remaja

Kasthuribai masih trauma - Foto Majalah Remaja
Katanya, hari ini nyawa anaknya sudah melayang kerana sikap bodoh orang lain yang mengambil jalan mudah membuang kerusi yang sudah rosak itu dari tingkat atas tanpa menghiraukan keselamatan orang lain yang berada di bawah. 
"Ini bukan soal nyawa orang India, bukan juga soal bangsa Melayu atau Cina, tetapi kejadian ini melibatkan satu nyawa remaja yang langsung tidak berdosa kerana kecuaian orang lain. 
"Hari ini anak saya kena, kalau esok lusa anak orang lain atau siapa-siapa kena? Kenapa tiada tindakan dalam hal ini? Ini bukan kejadian kali pertama, sudah banyak kes baling barang berlaku. 
"Ada mangsa kena 16 jahitan, ada kena 6 jahitan. Kita semua ada hati, hari ini anak saya sudah mati dan nyawanya tidak mungkin boleh datang semula. Tapi apa kita boleh buat? Apa peranan kita semua?
"Anak saya yang baik sudah tiada, siapa mahu menggantikan nyawanya yang sudah tiada akibat kecuaian orang lain? Anak saya menjadi mangsa sikap orang lain," katanya sebelum jatuh pengsan secara tiba-tiba menyebabkan keadaan menjadi panik seketika. 


Difahamkan, mayat mendiang Satiswaran masih berada di Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk upacara pengkebumian. 
Sementara itu, pihak berkuasa masih belum membuat sebarang tangkapan dan pihak forensik juga sedang giat mencari DNA dari kerusi tersebut. 
Nenek kepada mendiang yang tinggal di tingkat 21 berkata, dia tahu dan kenal dengan kerusi yang menimpa kepala cucunya dan dikatakan adalah milik jirannya yang diletakkan di luar rumah. 
"Tetapi saya tidak tahu dia sudah ditangkap atau tidak. Kerusi itu memang ada sebelah rumah saya sebelum ini," katanya yang mengesyaki pelakunya adalah orang dewasa, bukannya kanak-kanak kerana kerusi tersebut agak berat untuk diangkat oleh kanak-kanak. 


Sumber 'Kepalanya terbelah, saya tadah otaknya dengan tangan dan anak pandang muka saya tetapi kosong' - Ibu mangsa

Post a Comment

Previous Post Next Post