Liverpool calarkan rekod tanpa kalah City

LIVERPOOL: Liverpool menamatkan rekod tanpa kalah Manchester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini apabila melakar kemenangan 4-3 di Anfield, sebentar tadi.

Alex Oxlade-Chamberlain membuka tirai jaringan buat skuad The Reds seawal minit kesembilan namun jaringan pendahuluan itu berjaya dipadamkan City yang meraih gol menerusi Leroy Sane minit ke-40.

Bagaimanapun, tiga gol dalam tempoh sembilan minit yang diraih Liverpool selepas babak kedua bersambung mencalarkan rekod cemerlang City yang dibimbing Pep Guardiola.

Roberto Firmino memulakan pesta tiga gol Liverpool menerusi jaringannya minit ke-59 sebelum Sadio Mane menambah derita City dengan gol minit ke-61.

Penyerang antarabangsa Mesir, Mohamed Salah meledak gol keempat Liverpool tujuh minit kemudian.

City bagaimanapun cuba kembali bangkit dan mereka berjaya meraih dua gol menerusi Bernardo Silva (84) dan Ilkay Gundogan (90+1) tetapi ia sudah dianggap terlambat bagi mengekang kemenangan The Reds.

Keputusan itu menyaksikan City yang berada di kedudukan teratas liga kekal dengan kelebihan 15 mata di depan penghuni tangga kedua, Manchester United.

Namun, United berpeluang untuk merapatkan jurang itu andai berjaya meraih tiga mata apabila menentang Stoke City awal pagi Selasa ini. - AFP



Sumber Liverpool calarkan rekod tanpa kalah City

Post a Comment

Previous Post Next Post