'Main bola sepak lebih mahal daripada golf'

KOS bermain bola sepak lebih mahal daripada bermain golf? Biar betul...

Keadaan ini bukan disebabkan harga peralatan, tetapi kos untuk menyewa padang bola sepak yang berkualiti di Lembah Klang pada waktu malam atau puncak, kini sudah meningkat akibat permintaan yang makin tinggi.

Pasukan bola sepak peringkat amatur ataupun sosial sudah pun bertambah, namun jumlah kemudahan padang bola sepak yang terdapat di Lembah Klang ini dikatakan tidak mampu menampung pertumbuhan tersebut.

Waktu puncak bermain bola sepak ialah pada pukul 5 petang sehingga 10 malam pada hujung minggu manakala pada hari minggu, 8 malam sehingga 10 malam.

Kenapa kita kata main bola sepak lebih mahal daripada golf?

Kita bandingkan nilai yang harus dibayar oleh seorang individu untuk menyewa kos padang bagi setiap pasukan dan tempoh atau jumlah masa permainan.

Kos menyewa padang bola sepak New Camp Bandar Utama adalah RM450 setiap pasukan.

Jika ada 18 pemain dalam setiap pasukan, seorang pemain perlu membayar RM25.

Bagi yang bermain golf pula, kos untuk memukul 100 biji bola di Kinrara driving range adalah hanya RM13.

Sementara bermain golf 18 lubang di Kelab Golf Perkhidmatan Awam (KGPA) pula adalah RM80 pada hari minggu.

Namun, tempoh permainan golf tiada had berbanding bola sepak hanya 1 jam 30 minit atau sehingga 2 jam sahaja.

Malah, bukan semua pemain dapat bermain masa penuh kerana perlu digantikan dengan pemain lain. Jadi, tempoh permainan di padang golf memberi kelebihan, ditambah pula dengan padang yang lebih luas.

Apa kata pengurus, pemain bola sepak amatur dan sosial mengenai menyewa harga padang bola sepak di Lembah Klang?

Bagi pengurus pasukan amatur Shah Alam United, Nadzry Abu Bakar, mahal atau tidak kos sewa padang bola sepak di Lembah Klang bergantung kepada individu tersebut.

“Saya tidak pasti main bola sepak ini lagi mahal atau sebaliknya berbanding golf. Bagi saya, mahal itu subjektif.

"Contohnya, saya sanggup bayar lebih untuk main di padang yang bagus dari segi kualiti, saiz besar dan mempunyai lampu yang cerah pada waktu malam,” kata Nadzry.

Tambahnya, untuk mendapat semua ciri-ciri tersebut pada sebuah padang bola sepak, harga haruslah berpatutan dan bayarannya sedikit tinggi.

“Bagi saya, harga padang kini semakin meningkat kerana banyak pasukan suka bermain pada waktu malam dan ekoran peningkatan pasukan-pasukan amatur ataupun sosial secara mendadak.

"Permintaan untuk guna padang sangat tinggi, jadi, pemilik ada kuasa untuk menentukan kos,” jelas Nadzry.

Perkara ini membimbangkan pengurus pasukan Badak Wanderers FC, Mikael Hidayat.

Mikael yang bermain dalam liga sosial di Lembah Klang merungut harga padang bola dimanipulasi oleh ulat-ulat yang menempah padang pada waktu puncak, sekaligus menjadi orang ketiga dalam urusan sewa beli padang.

Mereka kemudian menyewa kepada pihak lain dengan harga yang lebih tinggi, atau kepada pasukan yang mahu bermain bola sepak.

“Padang tak cukup, harga padang waktu ‘panas’ dimanipulasi ‘ulat’ padang. Ini memberi masalah kepada pasukan bola sepak sosial kerana mereka hanya mahu mengaut keuntungan,” kata Mikael.

“Ini amat merugikan pasukan bola sepak yang benar-benar mahu bermain bola sepak dan juga tidak sihat untuk pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi,” tambahnya.

Berapa banyak pasukan bola sepak amatur/sosial di Malaysia?

Berdasarkan aplikasi bola sepak Golazo Football, terdapat lebih 1,800 pasukan bola sepak amatur/sosial menggunakan aplikasi itu.

Namun, hanya 166 pasukan yang aktif menggunakan aplikasi itu untuk mencari pasukan lawan ataupun menyewa padang bola sepak.

Harga padang yang diiklankan pada aplikasi itu juga berbeza-beza walaupun pada waktu, hari dan di padang yang sama.

Bagi Pengurus Media Malaysia-Soljabiru Chelsea, Luqman Zainal Abidin, ada pihak yang mengambil peluang peningkatan jumlah pasukan bola sepak di Malaysia ini untuk menjana pendapatan.

“Cuma sekarang perlu ada garis panduan. Bola sepak Malaysia perlu dirombak semula secara keseluruhan, bukan sahaja setakat kemudahan dan gaji pemain, tetapi juga untuk akar umbi.

"Sekarang, isu padang mahal sudah mula merisaukan apabila padang disewakan kepada beberapa pihak lain sebelum sampai ke tangan pasukan yang hendak bermain bola.

"Ini membuatkan harga padang asal melambung tinggi,” kata Luqman.



Sumber 'Main bola sepak lebih mahal daripada golf'

Post a Comment

Previous Post Next Post