Manfaatkan tanah bekas lombong

ANTARA punca harga tanah meningkat adalah penawaran atau bekalan yang terhad, sedangkan permintaan sentiasa tinggi. Ahli ekonomi tanah berpendapat, apabila penawaran tidak anjal dan permintaan tinggi di pasaran, harga akan meningkat.

Apabila permintaan semakin tinggi dan penawaran tanah masih juga terhad, harga di pasaran akan terus meningkat. Hanya langit menjadi sekatan. Justeru, satu daripada cara memperlahankan kadar kenaikan harga tanah (atau rumah) adalah dengan mengubah suai bekalan tanah.

Kaedah yang sering digunakan, termasuk menebus guna atau menambak tanah laut, memajukan tanah terbiar, menambah nisbah ketumpatan bangunan (tingkat bangunan) dan memajukan semula rumah usang yang dirobohkan dan dibina bangunan baharu. Satu cara lagi adalah memajukan tanah bekas lombong yang terbiar.

Hasil bumi Tanah Melayu daripada bijih timah sahaja dilaporkan 16,000 tan pada 1850 meningkat menjadi 19,600 tan pada 1881. Kemudian, meningkat sehingga 50,000 tan pada 1904 . Pada 1913 51,000 tan dan terus meningkat 77,000 tan pada 1939 dengan penggunaan 105 kapal korek pada 1929.

Malangnya, permintaan jatuh apabila ekonomi meleset sepanjang 1929 hingga 1932 yang menyaksikan harga bijih timah jatuh merudum. Dilaporkan, ada kira-kira 300,000 hektar tanah bekas lombong di seluruh negara yang perlu dimajukan semula dengan cara paling cekap dan berkesan.

Kewujudan tanah bekas lombong ini akibat proses perlombongan khususnya bijih timah. Perlombongan besar-besaran mengganggu kestabilan struktur tanah apabila hasil bumi diambil, tetapi tindakan pemuliharaan tidak dijalankan dengan sewajarnya.

Topografi tanah bekas lombong terusik

Justeru, tanah bekas lombong ini juga dikenali sebagai tanah terusik kesan perlombongan yang menghasilkan dua jenis tanah iaitu tanah berpasir dan tanah berkelodak. Struktur tanah bekas lombong kurang stabil. Kajian menunjukkan pada asasnya, tanah pasir bekas lombong mempunyai 95 hingga 98 peratus pasir kasar bercampur batu kerikil, berbutir tunggal dan mempunyai tahap saliran tanah yang tinggi.

Tanah bekas lombong terletak di atas landskap yang rata, beralun dan berombak. Tanah pasir bekas lombong mempunyai tahap kesuburan tanaman yang rendah, keupayaan pegangan air dan nutrien baja juga rendah, kadar larut resap tinggi dengan suhu permukaan yang tinggi. Semua ciri-ciri ini menjadikan tanaman tertentu kurang sesuai kecuali tanaman kontan seperti ubi kayu, keledek, cili, seleri, sayur-sayuran dan sengkuang.

Untuk maksud pemulihan supaya sesuai bercucuk tanam, penggunaan bahan organik yang banyak diperlukan. Selain itu, sistem pengairan yang baik perlu diadakan. Bagi tanaman buah-buahan, penambahan tanah lempung boleh dilakukan. Pembajaan sempurna diperlukan dan tanah bercerun perlu diratakan.

Penggunaan sungkupan boleh mengurangkan suhu, mengawal rumpai dan meningkatkan kesuburan tanah. Penggunaan kapur juga boleh menambah baik keadaan tanah untuk tanaman. Apabila sistem memerlukan penambahbaikan yang ketara, kos meningkat. Kos perlu diseimbangi dengan produktiviti.

Dengan langkah pembaikan dan amalan pengurusan tanah yang betul, tanah pasir bekas lombong boleh diusahakan dengan jayanya untuk pelbagai tanaman masa singkat seperti sayur-sayuran, keledek, sengkuang, ubi kayu dan buah-buahan termasuk jambu batu, belimbing, betik dan mangga.

Jika perkara ini dapat dilakukan dengan sempurna, hasil pertanian jutaan ringgit mampu dihasilkan dan kos import makanan boleh dikurangkan.

Usaha yang dijalankan agensi kerajaan termasuk Jabatan Geosains dengan menjalankan kajian mengenai kesesuaian tanah perlu dipuji. Usaha giat yang dijalankan Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah mengklasifikasikan tanah yang sesuai dengan pertanian dan sebagainya juga perlu dipuji.

Begitu juga usaha dijalankan agensi kerajaan lain seperti Jabatan Pertanian memajukan tanaman kontan di tanah bekas lombong mula menampakkan hasil.

Begitu juga dengan Jabatan Perumahan Negara yang mengusahakan pembinaan di atas tanah bekas lombong yang mula menunjukkan kejayaan. Tidak ketinggalan, usaha kerajaan negeri yang prihatin untuk memajukan tanah bekas lombong dengan membina pusat rekreasi dan santuari, padang golf dan pembinaan kampus universiti. Universiti Teknologi Petronas, Universiti Tuanku Abdul Rahman dan Universiti Teknologi MARA dibina di atas tanah bekas lombong.

Penulis terbabit dalam perbincangan semakan separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-11 mengenai hartanah, baru-baru ini. Usaha kerajaan menjalankan semakan itu untuk memastikan negara berada pada landasan yang betul amat penting. Semakan menunjukkan ada halangan untuk mencapai sasaran yang ditentukan. Misalnya, tahap pemilikan hartanah Bumiputera masih rendah yakni kurang 18 peratus berbanding kaum lain. Justeru, usaha dan tenaga perlu digembleng ke arah mentransformasikan kemajuan hartanah di negara kita.

Pengurusan bersepadu

Sesungguhnya pengurusan tanah mesti dilakukan secara bersepadu, holistik dan membabitkan semua agensi berkaitan tanah sama ada pada peringkat negeri mahupun Kerajaan Persekutuan. Sudah sampai masa untuk kita membentuk agensi khusus menggerakkan usaha mentransformasikan pembangunan tanah yang kebanyakannya masih mundur, ketinggalan dan memerlukan bantuan segera.

Agensi berkenaan akan menjaga dan menjalankan kajian pasaran serta kajian kemungkinan bagi mengetahui perkara yang perlu dilakukan untuk memajukan tanah terbiar termasuk tanah bekas lombong. Lebih penting ialah bagaimana melakukannya dengan cekap dan berimpak tinggi. Akhirnya, tanah seperti tanah wakaf, rizab Melayu, tanah pertanian, tanah pribumi, tanah adat dan tanah bekas lombong yang terbiar dapat dimajukan sebaik-baiknya.

Penulis adalah Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (PERTAMA) dan pensyarah kanan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia



Sumber Manfaatkan tanah bekas lombong

Post a Comment

Previous Post Next Post