SUNGAI PETANI: Kesabaran sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah mengekori sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dari Yan, dekat sini ke Seberang Jaya di Pulau Pinang, berbaloi apabila berjaya menggagalkan cubaan pengedaran dadah jenis ganja.
Sejumlah 160 ketulan mampat ganja dianggar bernilai RM496,500 dirampas dalam serbuan kira-kira jam 3.15 petang kelmarin, di kawasan parkir sebuah pasar raya besar di Seberang Jaya, yang menjadi lokasi pertemuan dua suspek dipercayai pengedar dadah.
Selain rampasan dadah yang ditemui dalam dua MPV berasingan iaitu jenis Naza Citra dan Perodua Alza, polis turut menahan pemandu kedua-dua kenderaan, yang berusia 27 tahun dan 41 tahun.
Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff, berkata sepasukan anggota JSJN negeri mengekori sebuah Naza Citra di Yan, yang disyaki membawa dadah sejauh lebih 80 kilometer (km) sehingga ke kawasan parkir pasar raya di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
"Selepas mengenal pasti kedua-dua kenderaan terbabit, pasukan JSJN terus membuat serbuan serentak dan menahan dua suspek yang memandu kedua-dua MPV itu.
"Kedua-dua mereka dibawa bersama kereta ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Seberang Prai dan pemeriksaan lanjut ke atas Naza Citra menemui dua guni yang di dalamnya disahkan terdapat 60 ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja seberat 61.9 kilogram (kg).
"Pemeriksaan ke atas Perodua Alza pula menemui tiga guni berwarna putih yang mengandungi 100 ketulan mampat dadah jenis ganja, dianggarkan seberat 103.6 kg.
"Keseluruhan berat ganja yang dirampas adalah 165.5 kg dengan nilai pasaran RM496,500," katanya ketika sidang media di IPD Kuala Muda, di sini, sebentar tadi.
Asri berkata, dalam serbuan itu, polis turut merampas wang tunai RM2,723 dan jam tangan Rolex daripada pemandu Naza Citra, manakala RM192 lagi dirampas daripada pemandu Perodua Alza.
"Kedua-dua suspek, masing-masing bekerja sebagai penjual daging dan peniaga kedai makan di Pulau Pinang.
"Mereka kini direman selama seminggu sehingga 14 Januari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Sumber Mengekor 80km