Mereka terkandas di pulau tersebut sejak Khamis tetapi tindakan pantas oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang membawa mereka keluar menaiki kapal KD Terengganu membolehkan kesemua mereka selamat tiba di Kuantan pada Selasa.
Seorang pelancong, Moritz Langner, 25, berkata beliau bersyukur kerana beliau dan isterinya Polina Langner, 23, akhirnya tiba di tanah besar hari ini memandangkan penerbangan ke Munich, Jerman dijadualkan berlepas awal pagi Rabu.
"Tentera laut ialah peluang terakhir kami untuk meninggalkan pulau ini. Sekarang kami berharap kami sempat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) sebelum penerbangan itu berlepas," katanya.
Langner menambah mereka tiba di Kuala Lumpur pada 6 Jan sebelum mengambil keputusan ke Pulau Tioman pada 8 Jan."Kami merancang ungtuk meluangkan masa dua hingga tiga hari di sana tetapi kami diberitahu bahawa perkhidmatan feri tidak dibenarkan beroperasi kerana berbahaya. Kami menunggu dan bimbang jika terlepas penerbangan kami," katanya.
Bagi Azli Jeman, 30, yang berasal dari Selangor berkata beliau tidak menyangka kunjungan kali pertamanya ke pulau itu untuk bekerja berakhir dengan pengalaman menaiki kapal tentera.
Katanya, beliau diarahkan ke pulau itu untuk melakukan kerja memeriksa dan baik pulih sistem janakuasa di sebuah hotel di situ pada Rabu lalu dan kerja-kerja itu sepatutnya tamat dalam tempoh sehari.
"Saya hendak keluar pada Khamis tapi diberitahu tiada bot kerana ombak kuat. Jadi mahu atau tidak hanya boleh menunggu. Risau juga jika bot yang datang hanya feri kecil kerana ombak kuat," katanya.
Bagi pasangan pengantin baharu, Isma Syukri Ishak dan isterinya, Nur Faradila Daud, kedua-duanya berusia 28 tahun berkata mereka telah lama merancang untuk berbulan madu di pulau peranginan itu selepas bernikah pada minggu lalu.
Katanya, mereka mulai bimbang apabila mengetahui tiada bot dibenarkan untuk membawa keluar pelancong kerana kos percutian semakin meningkat akibat perlu membayar penginapan hotel.
-- BERNAMA
Sumber Pelancong cerita pengalaman terkandas di Pulau Tioman