KOTA KINABALU, 7 Jan — Seorang pendaki Gunung Kinabalu meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri ketika turun dari puncak gunung itu hari ini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, berkata mangsa, Nazri Omar, 48, dari Bandar Baru Bangi, Selangor dilaporkan terpisah dan hilang daripada kumpulannya ketika menuruni gunung itu pada kira-kira jam 1.15 tengah hari tadi.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan Pasukan Bomba Bantuan SAR di Gunung (MOSAR), kakitangan Taman-Taman Sabah dan malim gunung digerakkan di sekitar Kilometer 8 laluan menuruni gunung tersebut di mana mangsa dilaporkan hilang.
Menurut kenyataan jabatan itu, mangsa kemudiannya ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh seorang malim gunung sebelum dibawa turun oleh pasukan MOSAR menggunakan usungan,
“Mangsa sampai di Timpohon Gate (tempat memulakan pendakian) pukul 5.40 petang dan seterusnya, diserahkan kepada pihak ambulans di mana doktor perubatan sahkan mangsa meninggal dunia,” menurut kenyataan itu.
Jabatan itu berkata mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. — Bernama
Sumber Pendaki dari Bangi maut turun Gunung Kinabalu