Pengarahya Mohamad Yusli Askandar berkata, perselisihan faham berlaku kerana anggota penguatkuasa tersebut hanya mahu bantu alihkan halangan di laluan jalan.
Menurutnya, hasil semakan mendapati peniaga terbabit sebelum ini sudah pun dikenakan dua amaran atas kesalahan meletakkan halangan (tong ikan) di laluan pengunjung.
“Berhubung kejadian yang berlaku pada pada jam 10.30 pagi Sabtu lalu, penguatkuasa MDKS terbabit melakukan rondaan berjadual di pasar tersebut dan mendapati terdapat halangan yang menghalang laluan awam.
“Anggota penguatkuasa MDKS yang bertugas mengarahkan peniaga terbabit supaya halangan terbabit dialihkan dan berlaku sedikit perselisihan faham menyebabkan bekas berisi ikan terjatuh.
“MDKS juga kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menularkan video insiden itu,” katanya ketika diminta mengulas isu penularan video penguatkuasa yang didakwa ‘mengamuk’ ketika operasi Sabtu lalu.
Mengulas lanjut mengenai insiden itu, Mohamad Yusli menjelaskan, pihaknya mengambil tindakan terhadap tiga anggota penguatkuasa yang terlibat dalam insiden terbabit.
“Tiga anggota penguatkuasa itu tidak dibenarkan bertugas di lapangan dan siasatan akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi menyelesaikan perkara ini sebaik mungkin.
“Untuk makluman, MDKS sentiasa mengadakan operasi pemantauan di Pasar Basah Pasir Penambang kerana kawasan itu menjadi tumpuan awam dan pelancong.
“Selepas kejadian, MDKS juga bertemu dengan peniaga yang terlibat. Peniaga terbabit akur dengan kesalahan dan memberi jaminan untuk mematuhi arahan dari semasa ke semasa.
“Ini kerana, pematuhan arahan ini penting bagi memastikan setiap pasar dalam keadaan bersih dan peniaga perlu mematuhi syarat serta peraturan penyewaan yang ditetapkan.
“Ia penting untuk mengatasi masalah halangan di laluan awam dan tidak meletakkan barang di luar petak perniagaan,” katanya kepada Sinar Harian petang tadi.
Mohamad Yusli turut menasihatkan masyarakat setempat untuk menyalurkan sebarang bentuk aduan secara atas talian berkaitan perkhidmatan MDKS di talian Sistem Talian Aduan Rakyat Selangor (STAR).
“Orang ramai juga boleh membuat aduan berkaitan salah laku rasuah atau disiplin yang melibatkan kakitangan MDKS di aimdks@mdks.gov.my,” katanya.
Terdahulu, tindakan anggota penguatkuasa yang dilihat seolah-olah ‘mengamuk’ dan menolak bekas ikan di sebuah pasar di sini menimbulkan pelbagai reaksi negatif orang ramai selepas video rakaman itu tular dalam media sosial.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 90 saat itu memaparkan tindakan seorang anggota penguatkuasa yang dilihat menolak bekas ikan sehinggakan mengejutkan pengunjung.
Kejadian berlaku selepas operasi penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT) dijalankan di kawasan terbabit.
Sumber Penguatkuasa hanya nak bantu alih halangan