Pesanan Cheng Hoe

JANGAN tertekan! Itu pesanan jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe kepada pemain muda negara yang berdepan misi hidup mati dalam kempen Kumpulan C Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) Tahun menentang Jordan di Stadium Changshu, esok.

Beliau berkata, pemain negara perlu lebih yakin dan segera melupakan kekalahan pertama 1-4 di tangan Iraq kelmarin.

"Bagi saya pemain perlu turun dengan keyakinan tinggi, jangan terlalu tertekan dengan kekalahan yang besar kepada pasukan Iraq kerana dalam bola sepak kalau pemain turun dengan satu keyakinan dan bermain dalam satu pasukan, saya fikir bukan mudah lawan nak menang dengan kita.

"Kita tak boleh terlalu hormat lawan kerana kita juga datang dengan persiapan terbaik," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Cheng Hoe turut berada di Changshu sejak Selasa lalu dan menyaksikan anak buah Datuk Ong Kim Swee menentang Iraq dalam perlawanan pembukaan.

Bekas jurulatih Kedah itu yang dilantik sebagai jurulatih kebangsaan pada 7 Disember lalu selepas tidak sampai setahun menjadi penolong jurulatih kepada Nelo Vingada mahu memantau prestasi pemain muda negara.

"Dari segi kualiti permainan kejohanan ini tinggi kerana ia pusingan akhir dan kita tahu setiap pasukan buat persediaan terbaik. Pemain negara juga beri persembahan terbaik, tentangan hebat.

"Memang mana-mana pasukan sama juga, apabila pemain beraksi bersama skuad B-23, B-21, mereka adalah tonggak skuad kebangsaan pada masa depan, saya rasa mereka dapat banyak belajar daripada kejohanan ini," katanya.



Sumber Pesanan Cheng Hoe

Post a Comment

Previous Post Next Post