PM ambil berat mengenai masyarakat Siam - Mustapa

TUMPAT: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengambil berat mengenai masyarakat Siam di negara ini, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan berkata ini terbukti apabila Najib meluluskan sebuah pembinaan dewan serbaguna kepada masyarakat itu di jajahan ini selepas mereka memberikan sokongan padu kepada calon BN, Mat Razi Mat Ail ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor pada 2014.

"Perdana menteri gembira dengan sokongan masyarakat Siam (kepada kerajaan persekutuan) bukan sahaja di Kelantan dan Terengganu, malah di Kedah, Perlis dan negeri-negeri lain (yang mempunyai komuniti tersebut).

"Masyarakat Siam cukup bagus, taat dan setia... kita bertuah kerana masyarakat Siam pandai bersyukur, sebab itu perdana menteri sayang kepada komuniti ini," katanya ketika berucap merasmikan Karnival Sawaddee Perdana Menteri 2018 di perkarangan Wat Sukhomtharam, Kampung Kubang Panjang di sini, malam ini.

Pada karnival berkenaan, seramai 120 penerima daripada masyarakat tersebut menerima sumbangan berupa kit makanan yang disumbangkan perdana menteri.

Dalam pada itu, Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata negeri ini akan mengalami lebih banyak perubahan positif jika rakyat memberi kepercayaan kepada BN untuk kembali mentadbir.

"Insya-Allah, kalau kita menang, banyak lagi faedah yang kita boleh buat (untuk pembangunan Kelantan). Kita tak pernah ada perdana menteri yang rapat dengan Kelantan (selama ini), maka kita kena balas balik (budi perdana menteri) iaitu dengan mengundi BN," katanya.

-- BERNAMA



Sumber PM ambil berat mengenai masyarakat Siam - Mustapa

Post a Comment

Previous Post Next Post