PM ucap selamat Hari Ponggal 2018

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, pendekatan kerajaan yang inklusif dan mengutamakan kerjasama bersama masyarakat membolehkan lebih 500,000 masyarakat India di negara ini mendapat manfaat secara langsung melalui program dan projek kerajaan sejak 2009.

Perdana Menteri berkata, kesinambungan itu akan diteruskan untuk memastikan masa depan masyarakat India di Malaysia sentiasa terjamin.

"Bersempena sambutan perayaan Ponggal tahun ini, marilah kita sama-sama sebagai rakyat Malaysia mengeratkan perpaduan dan persefahaman dalam kalangan kita dengan harapan bahawa sambutan ini membawa satu permulaan yang baharu bagi Malaysia yang lebih maju dan berjaya.

"Percayalah, masa depan adalah milik kita bersama, 'Naalai Namathey!'. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat Hari Ponggal, atau 'Ponggal Vaalthukal' kepada seluruh masyarakat India di Malaysia," katanya dalam Perutusan Sambutan Ponggal menerusi blog, najibrazak.com, hari ini.

Najib berkata, 'Thai piranthal vazhi pirakkum', begitulah harapan ramai dalam kalangan komuniti India setiap kali tibanya bulan 'Thai' dalam kalendar India.

"Di saat kita melihat ke arah satu permulaan yang baharu dalam kehidupan kita, marilah kita melihat semula perjalanan kita sebagai sebuah negara bangsa yang melalui pelbagai rintangan dan cabaran untuk membina Malaysia yang aman, harmoni serta semakin moden pada hari ini," katanya.

Kedatangan musim menuai atau lebih dikenali sebagai Ponggal oleh masyarakat Tamil, disambut esok.

Bagi masyarakat Tamil, musim menuai adalah upacara tradisional tanda terima kasih kepada alam semulajadi, dalam meraikan kitaran hidup yang memberi manusia hasil tuaian dan ia disambut pada hari pertama bulan Thai menurut kalendar Tamil, yang sememangnya pada Januari.

Sambutan Ponggal tidak lengkap tanpa hidangan nasi manis, yang ditanak bersama susu menggunakan buyung, iaitu kaedah masakan tradisional yang berasal dari Tamil Nadu di India, iaitu tempat asal kebanyakan masyarakat Tamil.



Sumber PM ucap selamat Hari Ponggal 2018

Post a Comment

Previous Post Next Post