PETALING JAYA, 8 Jan ― Seorang ahli perniagaan warga Singapura yang videonya memukul seekor anjing bernama Furby menggunakan topi keledar tular dalam media sosial, didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir menjatuhkan hukuman itu terhadap Yee Kok Chew, 57, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah hari ini atas pertuduhan itu yang dibacakan dalam bahasa Inggeris.
Mahkamah turut memerintah Yee, selaku orang kena saman (OKS) dipenjara lapan bulan jika gagal membayar denda itu. OKS kemudian membayar denda itu.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa bertindak zalim dengan memukul, menyakiti dan mendera seekor anjing jantan baka Mongrel berwarna coklat putih sehingga mendatangkan kesakitan serta penderitaan tidak wajar terhadap haiwan itu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pondok keselamatan, Jalan BK6 E/4 (1), Taman Melody, Bandar Kinrara, Puchong pada pukul 8.49 malam, 2 April 2017.
Dia dituduh mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Binatang 1953 (Semakan 2006) dan dibaca bersama Akta Binatang (Pindaan 2013) yang boleh dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.
Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Jerald Gomez memohon hukuman ringan kerana anjing berkenaan tidak mempunyai kecederaan serius dan kini berada dalam keadaan sihat dan cergas.
"Selepas video kejadian itu tular, OKS telah kehilangan lesen francais dalam perniagaan. OKS juga meminta maaf berhubung tindakannya terhadap anjing itu," katanya.
Bagaimanapun, timbalan pendakwa raya Jabatan Veterinar, Nabilah Mohammad Zanudin memohon hukuman berat sebagai pengajaran dan amaran kepada OKS dan masyarakat.
"Kesalahan yang dilakukan oleh OKS adalah serius. Hukuman setimpal harus diberikan supaya jenayah sebegini tidak akan berleluasa," katanya.
Terdahulu semasa mahkamah sedang bersidang, kedengaran bunyi anjing menyalak dan Nabilah memberitahu bahawa anjing itu juga dibawa ke mahkamah hari ini, Majistret Mohamad Ikhwan turut melihat keadaan anjing itu yang dibawa masuk oleh pegawai veterinar.
Mengikut fakta kes, rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) berdurasi 2.43 saat melalui laman sosial Facebook Malaysian Independent Animal Rescue menunjukkan seekor anjing jantan jenis Mongrel dipukul berkali-kali menggunakan topi keledar di sebuah kawasan perumahan di Bandar Kinrara, Puchong. ― Bernama
Sumber Pukul anjing guna topi keledar, warga Singapura didenda