Tahniah, Malaysia!
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mesej Tahun Baru di Ambang 2018 pada 31 Disember lalu, berkongsi tentang pertumbuhan positif ekonomi Malaysia yang telah melangkaui jangkaan dengan peningkatan sebanyak 5.8 peratus.
Anggaran kadar pertumbuhan ini telah disemak semula, secara positif, sejumlah tiga kali oleh Bank Dunia, justeru Malaysia dikalung pujian demi pujian daripada institusi global atas pengurusan ekonomi mantap oleh kerajaan Malaysia.
Sentimen ini diperkukuh dengan keyakinan yang ditunjukkan rakyat tempatan dan masyarakat antarabangsa kepada Malaysia sepanjang tahun lalu.
Pencapaian di bumi Malaysia tidak dapat disangkal.
Pelaksanaan pelbagai fasa perkhidmatan Transit Aliran Massa Laluan iaitu Sungai Buloh-Semantan yang dilancarkan pada 16 Disember 2016 yang kemudiannya diikuti dengan pembukaan stesen-stesen pada 17 Julai 2017 sehingga ke Kajang membentuk jajaran penuh MRT 1 Sungai Buloh-Kajang (SBK) dan dijangka dapat memanfaatkan lebih 1.2 juta rakyat sejak ia mula beroperasi.
Projek pembinaan MRT SBK yang dilancarkan pada Julai lepas disiapkan lebih awal dari yang dijadual dan berjaya menjimatkan sejumlah RM2 bilion daripada sasaran awal kos projek berjumlah RM23 bilion.
Sinar kelegaan buat jutaan warga kota dengan kemudahan system pengangkutan bertaraf “state-of-the-art” ini.
Selain dari berjaya mengurangkan jumlah kemasukan kenderaan persendirian memasuki Lembah Kelang saban hari, kemudahan ini turut mengurangkan kesesakan jalan raya di ibu negara.
Rakyat turut menghargai inisiatif kerajaan dalam memperkenalkan perkhidmatan MRT SBK boleh dinikmati secara percuma pada hari pertama pelancaran.
Pengurangan sebanyak 50 peratus kepada pengguna perkhidmatan termasuk LRT, Monorel dan BRT sehingga 31 Ogos lalu turut disambut baik oleh rakyat Malaysia.
Sejumlah 19 stesen laluan MRT SBK itu turut meliputi tujuh stesen pertukaran ke perkhidmatan rel sedia ada.
Bagi mereka yang tiada jajaran, kemudahan pengangkutan diperkenalkan – 300 buah bas pengantara meliputi lingkungan radius lima kilometer.
Terdapat juga kemudahan “Park & Ride” yang disediakan di 14 stesen MRT dengan 7,800 lot parkir untuk letak kenderaan.
Menerusi kemudahan rangkaian ke perkhidmatan rel lain, pembinaan MRT tersebut berjaya menyediakan 130,000 peluang pekerjaan baharu, 70,000 daripadanya adalah pekerjaan langsung.
60 tahun bumi berdaulat ini mencapai kemerdekaan.
Ini suatu tempoh panjang, padat dengan rentetan peristiwa memenuhi lipatan sejarah negara.
Pemodenan infrastruktur menjadi tanda aras keprihatinan kerajaan terhadap keselesaan rakyat.
Rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai bangsa dan agama cintakan gaya hidup sihat.
Dalam sektor sukan, Malaysia meraikan ulang tahun ke-60 negara dengan mencatatkan prestasi terbaik semasa temasya Sukan Southeast Asian (SEA) dalam sejarah negara.
Atlet negara berjuang sehingga ke titisan darah terakhir mereka demi meletakkan nama Malaysia gah di persada dunia dengan pencapaian gemilang 145 emas, sekali gus memberi hadiah istimewa sempena sambutan Hari Kebangsaan 2017.
Ia merupakan kali kedua Malaysia mengungguli temasya gemilang Sukan SEA selepas merangkul 111 emas pada edisi 2001 di laman sendiri.
‘Negaraku Bangkit Bersama’ yang menjadi tema Sukan SEA ke-29 bukan sekadar kata-kata kosong.
Atlet-altet Malaysia telah berjaya membuktikan bahawa mereka mampu menepati janji mereka.
Antaranya menerusi aksi hebat skuad bola jaring yang terus mempamerkan aksi cemerlang dalam menumpaskan musuh tradisi Singapura.
Pertemuan dua musuh ketat di pentas akhir itu bagaikan ulangan dan Malaysia tidak mensia-siakan peluang terbaik dalam membalas dendam sekali gus merampas emas.
Setahun An Najwa Azizan, Norashikin Kamal Zaman, L. Karishma Izyan Syazana Mohd. Wazir dan yang lain berlatih bersama di bawah bimbingan jurulatih dari Australia, Tracey Robinson, mereka bagaikan satu keluarga biarpun berbeza kaum.
BACA: KL2017: Kemarau emas bola jaring 16 tahun berakhir
BACA: An Najwa dedah rahsia kecemerlangan skuad bola jaring
Skuad gimnastik wanita negara menceriakan lagi Sukan SEA dengan menuai pingat emas menerusi ratu gimnas Malaysia, Farah Ann Abdul Hadi yang berjaya mempertahankan pingat emas dalam acara senaman lantai individu.
Farah mempamerkan prestasi yang memukau untuk menambah koleksi kemenangannya apabila mengungguli rutin senaman lantai, sekali gus mengulangi pencapaiannya pada tahun 2015.
Tetapi tahukah anda, Farah bukan satu-satunya ‘ratu’ sukan Malaysia?
Cheong Jun Hoong yang mendapat gelaran ‘ratu terjun dunia’, membuktikan kelasnya yang tersendiri sebagai juara dunia apabila menjuarai acara satu meter papan anjal individu wanita.
Walaupun masih belum pulih daripada kecederaan belakang dan keletihan semasa beraksi di Budapest, Jun Hoong masih mempamerkan persembahan yang memukau penyokongnya dan merangkul pingat emas dengan mengumpul mata tertinggi 268.55 mata dan perak menjadi milik rakan sepasukan negara, Jasmin Lai.
Pasukan berbasikal negara yang diketuai oleh Azizulhasni Awang pula telah menggegarkan Velodrome Nasional dengan meraih 11 daripada 13 pingat emas termasuk dua daripada Azizulhasni.
Pemegang pingat gangsa Olimpik Rio 2016 tersebut telah melengkapkan misi kutipan pingat emas negara sebanyak 111, menerusi acara pecut lelaki individu.
BACA: 111, 'good numbers' untuk saya! - The Pocket Rocketman
Sukan SEA lalu merupakan sukan yang sangat beremosi bagi Azizulhasni memandangkan ia merupakan penampilan terakhirnya bagi memberi laluan kepada pelapis.
Jika sebelum ini Sukan Para sering dianggap sebagai ‘anak tiri’ dalam dunia kesukanan, kini sukan tersebut semakin popular dan mendapat tempat.
Muhamad Ziyad Zolkefli menjadi antara atlet tumpuan Sukan SEA apabila beliau berjaya merangkul pingat gangsa dalam penampilan sulungnya dalam acara lontar peluru di Sukan SEA.
Kejayaanya mencatatkan dua sejarah baharu iaitu sebagai atlet paralimpik pertama menyertai temasya tersebut dan mendapat pingat pada acara tersebut.
Pemegang pingat emas Olimpik Rio 2016 tersebut pernah diiktirafkan sebagai Atlet Paralimpik Negara Terbaik pada tahun 2013 oleh Anugerah Sukan Negara.
Temasya dwi-tahunan ini turut menyaksikan buat kali pertamanya, seorang menteri dan sultan memahat sejarah tersendiri dalam kalendar sukan negara apabila mereka turun padang dan mengambil bahagian.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mewakili Malaysia dalam acara berkuda iaitu kuda lasak dan polo.
Sultan Mizan dan Khairy bukan sahaja meraih pingat emas tetapi juga mencipta rekod baharu. Temasya sebelum ini pernah menyaksikan aksi mendiang Raja Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej dalam sukan pelayaran dan beberapa anggota kerabat diRaja Brunei bagi menembak.
Ternyata, Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 menjadi penutup tirai kepada tahun 2017 apabila atlet Malaysia melakar pencapaian paling cemerlang dengan meraih 145 pingat emas dan 90 pingat emas bagi atlet paralimpik Malaysia.
Walaupun terdiri daripada pelbagai etnik dan kepercayaan yang kaya dengan pelbagai adat dan makanan, tetapi Malaysia yang bernaung di bawah lembayung 1Malaysia dan dipandang seluruh dunia sebagai model keharmonian dan kepelbagaian, sebagai contoh bukan sahaja kepada negara-negara membangun, malah juga buat negara-negara maju.
Malaysia yang disatukan sebagai 1Malaysia harus menjadi suatu kebanggaan dan ia harus terus diraikan dengan semangat perpaduan dan kegembiraan.
Dirgahayu negaraku!
Sumber Seleksi #mythrowbaek2017 kebanggaan Malaysia