14 JANUARI — Hujung tahun lalu, sejumlah 21 buku diharamkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) termasuklah Islam Tanpa Keekstreman: Hujah Untuk Kebebasan tulisan Mustafa Akyol, Wacana Pemikiran Reformis (Dr Ahmad Farouk Musa) Aku___, Maka Aku Ada! (Faisal Tehrani) dan Ulama Yang Bukan Pewaris Nabi (Wan Ji Wan Hussin).
Apakah makna semua ini?
Sebagai seorang rakyat, juga pembaca, saya turut terkesan. Kerana hak kebebasan dirampas. Tidak perlulah ulang ungkapan — kebebasan harus dibatasi — hingga konon membahayakan akidah pembaca, mengancam keselamatan umum dan ketenteraman awam. Sebagai pembaca, saya bosan mendengar ketakutan yang dibuat-buat untuk mengiyakan lidah penguasa.
Sebenarnya, semua masalah ini bermula dari cara pengetahuan dihasil dan disebar. Contoh, si fulan membaca sebuah karya besar aliran fikah. Tanpa memahami tafsiran budaya, si fulan itu membuat kesimpulan makna dari teks tersebut. Si fulan lantas mengajar masyarakat tentang hukum aliran fikah itu. Tanpa sedar, kefahaman itu dianggap sebagai pengesahan suatu kesatuan idea. Lalu masyarakat mengatakan inilah 'hukum paling benar'.
Inilah masalah terbesar menimpa pemikiran masyarakat. Membenarkan sesebuah hukum, tanpa sedar kita menindas hak-hak kemanusiaan dan kebebasan.
Maka wacana yang terhasil pastilah mewakili aliran fikah tersebut; mendapat pengesahan masyarakat mahupun badan autoriti atau elit pemerintah. Ringkasnya, penyebaran wacana dalam masyarakat Melayu-Islam khususnya, hanyalah suatu pengesahan ke atas kebenaran yang dikawal penguasa. Lantas, yang harus diperhalusi bukanlah tindakan KDN mengharamkan buku atau berapakah bilangannya tetapi kegagalan sistem pemikiran individu iaitu epistemologi atau pengetahuan yang lama dibentuk.
Kebanyakan masyarakat menganggap pengharaman sesebuah buku wajar kerana tulisan itu menggugat keimanan dan akidah; tanpa menyedari pengetahuan melalui wacana keagamaan berkembang subur dalam masyarakat di Malaysia.
Maka tumpuan kesenjangan memahami makna tersembunyi haruslah ditumpu kepada sistem pengetahuan yang membina cara kita mencerap kebenaran, sama ada kita memilih untuk menolak atau menjadi sebahagian yang mengesahkan wacana tersebut. Yang penting, setiap individu harus kritis dalam berwacana.
Jadi, bagaimana? Kita harus mencipta kebenaran ke atas kebenaran-kebenaran yang lain iaitu kebebasan tanpa diikat dengan batasan tertentu. Masyarakat harus diajar tidak takut kepada kebebasan berwacana dan berfikir. Ini menyambung tradisi pemikir Islam Maghribi, Muhammad Abed al-Jabiri yang menawarkan beberapa kaedah dalam memahami teks keagamaan dan kebebasan wacana.
Kesilapan dan keangkuhan sebahagian kita pada hari ini begitu mudah mencerap kebenaran tanpa menafikan wujudnya kebenaran-kebenaran lain yang tidak diketahui oleh bahasa agamanya. Contoh yang disebut pemikir Maghribi itu adalah premis dalam setiap lafaz cepat diangkat sebagai kesimpulan hukum yang sempurna. Maka, setiap wacana di dalam buku yang bertentangan norma keagamaan masyarakat Melayu-Islam, dihukum tanpa diteliti, jauh sekali diperhalusi hujahnya.
Sorok keilmuan
Nyatalah pengetahuan bukan sahaja mempengaruhi tindakan, malah mengesahkan 'kebenaran' tanpa kita sedari. Lebih rumit apabila ia menjadi kesatuan idea yang mengawal dan menguasai pemikiran dan budaya masyarakat. Bagi masyarakat Melayu-Islam, agama hanyalah pengetahuan yang diwariskan. Fikah yang dipraktik, disahkan hanya oleh penguasa. Di Malaysia, hanya pandangan aliran Syafi’e dan Sunni sahaja mendapat tempat manakala aliran seperti neo-Muktazilah, Syiah terus dikecam. Pandangan fikah selain Syafi’e pula sentiasa dianggap bermasalah.
Maka polemik ini seringkali diperdebat di dalam buku. Maka tidak pelik, kenapa Islam di negara ini bersikap eksklusif dan tidak boleh berbeza pandangan.
Padahal, sejarah keagamaan menunjukkan polemik antara agama, wahyu dan falsafah bukan baru. Namun, kewujudan ilmu selain yang bersifat naqliah, ditentang dan disorok dalam sejarah tradisi keagamaan. Contohnya dalam era tadwin atau pembukuan hadis, usaha Syiah tidak diceritakan melainkan aliran Sunni sahaja diangkat.
Mengikut al-Dzahabi dalam "Tarikh al-Khulafa" karya Jalaluddin al-Suyuthi, proses tadwin Syiah sengaja tidak disebut; bukan kerana lupa, tetapi untuk mendapatkan pengesahan Sunni yang mendominasi ketika itu. Justeru penguasaan mengakibatkan tradisi keilmuan Syiah disorok.
Begitu jua terjadi kepada buku-buku yang diharamkan kerana terpaksa menyorokkan sesuatu yang dianggap 'merosakkan'.
Bukan Ibnu Rusyd, tidak al-Ghazali
Kita perlu bersikap kritis terhadap kebebasan wacana. Pertama, kerana aliran Syafi’e bermula dengan naratif nalar kebudayaan pemikiran dan bahasa Arab yang primitif lalu dikembangkan dalam konsep hukum. Begitu juga Sunni sebagai aliran terbesar dalam teologi. Namun kritikan Abed al-Jabiri bukanlah kepada politik dan ideologi semata-mata, sebaliknya sistem pengetahuan itu sendiri.
Nalar sebahagian wacana literalis dalam beragama sangat bermasalah kerana menganggap kebenaran pada satu sisi sahaja sedangkan kritikan terhadap wacana harus ada. Jika tiada, kita akan menyambung susulan pengharaman buku-buku selepas ini.
Di Malaysia, perkembangan nalar yang disebut bayani atau literalis menguasai hampir keseluruhan cara berfikir masyarakat Melayu-Islam. Wacana seperti al-Ghazali paling mendapat tempat di hati masyarakat Melayu-Islam dan pemerintah.
Ketidakseimbangan jelas menampakkan metodologi pengetahuan berbentuk rasionalisme tidak mendapat tempat, malah dikecam dan diancam. Mengapa wacana tokoh al-Ghazali lebih mudah diterima oleh penguasa berbanding Ibnu Rusyd? Bayangkan jika penguasa menjadikan Ibnu Rusyd sebagai model tradisi keilmuan, tentu penguasa tidak senang duduk. Kerana rakyat menjadikan rasionalisme sebagai model pemikiran dan bersikap kritis terhadap ketidakadilan dan kezaliman penguasa. Ibnu Rusyd adalah sarjana ilmu yang lantang mengkritik penguasa zalim pada zamannya, lantang menyeru kebebasan. Pemerintah yang bersikap kedidaktorian digelar Ibnu Rusyd sebagai kekuasaan yang egoisme (wahdaniyyat al-tasalluth).
Lantas pemikiran Ibnu Rusyd bukanlah dilupakan tetapi mengangkat tokoh rasionalisme sedikit sebanyak bakal mempengaruhi pemikiran masyarakat Melayu-Islam. Menyorokkan keilmuan Ibnu Rusyd dengan momokan sesat juga antara pengesahan wacana al-Ghazali dan Sunni di Malaysia. Nalar berfikir burhani atau rasionalisme tidak sesekali diterima kerana ia memberi kesan — menggugat kepentingan status quo dalam kekuasaan.
Maka, untuk keluarkan dari wacana sempit adalah dengan berbalik kepada rasionalisme. Kerana itu memilih nalar Ibnu Rusyd bukanlah pilihan tepat melainkan kita mencipta pertentangan pemikiran baru tanpa dibayangi oleh aliran dan pemikiran mana-mana tokoh. Namun, membuang pemikiran lama, menggantikannya dengan pemikiran aliran baru juga tidak menjanjikan wacana menjadi kritis. Bentuk ini umpama menukar pakaian baru, kelak tetap rosak kemudian hari. Kerana wacana sifatnya tidak sempurna tetapi pertembungan di dalamnya, itulah dinamakan kebebasan berfikir.
Maka ciptakanlah kebenaran atas kebenaran-kebenaran yang ada selagi ia mendatangkan kemajuan berfikir dan tidak merosakkan nilai kemanusian.
* Syazreen Mohd, penulis buku Bercakap Dengan Quran adalah lulusan pengajian Usuluddin di Universiti Yarmouk, Jordan.
** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.
Sumber Sisi lain pengharaman buku — Syazreen Mohd