Susah betul aku nak hadam kes lempar kerusi sampai membunuh orang di flat PPR yang berlaku baru ini. Lebih-lebih lagi bila dapat tahu kerusi yang dilempar jenis kerusi pejabat, yang ada roda dan kau boleh tolak ke hulu ke hilir.
Aku tak faham apa jenis punya sikap yang buatkan kau pemalas sangat sampai nak tolak kerusi tersebut pergi ke lif atau tangga sampai ke tingkat bawah dan kemudian sambung tolak ke tong sampah besar pun kau tak boleh nak buat?
Sikap.
Ya, sikap memainkan peranan di sini. Sikap yang boleh buat kau tak terfikir kesan lempar kerusi dari tingkat atas ke bawah bermula dari sikap yang lain. Sikap guna putik kapas untuk korek telinga lepas tu buang ikut tingkap. Sikap anak berak dalam lampin lepas tu buang juga ikut tingkap. Kemudian kau mula upgrade dengan sikap buang sampah satu plastik besar ikut tingkap, kemudian kerusi, televisyen, tilam dan sebagainya.
Dan sikap ini tidak terhad pada buang segala benda ikut tingkap. Sikap ini beranak pinak hingga kencing dalam lif, cabut butang lif, rosakkan harta benda awam, letak motorsikal ikut suka, tak bayar sewa atau duit penyelenggaraan dan salah satu yang paling sinonim dengan flat PPR ialah sikap menternak jentik-jentik dan nyamuk Aedes.
Perkara sebegini yang membuatkan aku cabut dari Sentul dan pindah ke taman perumahan di luar Kuala Lumpur. Bukan sebab aku cuba nak jadi elitis, tapi sebab nak lari dari sikap yang sebegini.
Dan, kau boleh tahan ke setiap kali balik rumah mesti ternampak kain rentang ‘Awas Kawasan Denggi’ dengan satu kotak kecil yang angkanya berubah-ubah ikut jumlah berapa ramai yang mati setakat ini?
Kenapa orang flat PPR mesti terus kekal dengan sikap begini? Tak boleh ke, walaupun kau mungkin miskin harta dan berpendapatan rendah, tapi sekurangnya biarlah kaya dengan budi dan berfikiran tinggi?
Muhammad Najib
Sumber Sudahlah Miskin Harta, Sikap Pun Miskin Sama