Ada di antara mereka mula berdepan gangguan mental seperti kebimbangan sejak muda lagi.
Berikut antara 10 selebriti terkenal yang menghidap gangguan kebimbangan dan cara mereka mengatasi masalah itu.
1. Emma Stone
Bintang filem La La Land ini bersikap terbuka berkongsi masalah gangguan kebimbangan yang dialaminya.
Emma berdepan masalah itu sewaktu kecil dan sukar melupakan rumah rakannya terbakar.
Menurutnya, masalah itu menghantuinya selama tiga tahun dan setiap hari bimbang sekiranya berlaku perkara buruk.
2. Ryan Reynolds
Dalam temu bual bersama Variety tahun lalu, Reynolds mendedahkan sukar tidur sebelum penggambaran Dead Pool bermula kerana mahu menambah baik skrip filem adiwira itu.
Kebimbangan terbesar pelakon terbabit adalah jika dia mengecewakan peminatnya. Jangkaan tinggi orang ramai terhadap persembahannya menambahkan lagi tekanan yang dirasainya.
Namun begitu, dia bersyukur kerana isterinya, Blake Lively membantunya menangani masalah itu.
3. Amanda Seyfried
Pelakon filem Les Miserables ini mengakui terpaksa bergantung dengan ubat bagi mengawal masalah gangguan kebimbangan yang dihidapinya sejak berusia 19 tahun.
Amanda, 32, berkata dos ubat diberikan doktor adalah rendah dan tidak bercadang untuk berhenti mengambilnya.
“Saya tidak mahu ambil risiko berhenti mengambil ubat ini. Masalah mental perlu dipandang berat dan ia boleh ditangani,” katanya kepada Allure dalam temu bual pada 2016.
4. Zayn Malik
Perjalanan karier seni penyanyi tampan British ini bukan mudah apabila berdepan masalah gangguan kebimbangan.
Pelantun lagu Pillow Talk ini berkata, dia bukan jenis yang gemar bersosial dan bergaul dengan orang ramai.
Menurut Zayn, dia sukar menjelaskan masalah itu sehingga mengganggu fikirannya.
“Saya suka menyanyi dan tidak mahu beralih ke bidang lain. Namun, masalah ini membuatkan saya berfikir sebaliknya.
“Berada dalam situasi ini, saya seakan-akan berperang dengan diri sendiri,” katanya.
5. Adele
Penyanyi hebat ini mendedahkan pernah diserang gangguan kebimbangan sebelum bertemu Beyonce yang juga idolanya.
Ini bukan kejadian pertama dan Adele pernah melalui situasi sama berikutan terlalu gementar sebelum memulakan konsert di Amsterdam.
“Saya gemuruh sehingga melarikan diri melalui laluan kecemasan.
“Selain itu, saya pernah beberapa kali muntah. Di Brussels, muntah saya terkena seseorang,” katanya yang kerap panik ketika berada di atas pentas.
6. Ryan Tedder
Vokalis kumpulan One Republic meluahkan masalah berdepan gangguan kebimbangan menerusi lagu ciptaan Better.
Dia memberitahu Access Hollywood kehidupannya tidak gembira dan pernah melalui pengalaman gangguan kebimbangan teruk ketika menjayakan jelajah konsert.
“Saya gementar, sukar tidur dan tidak gembira sehingga perlu mengambil ubat.
“Masalah ini menyebabkan saya berasa sangat penat. Saya pernah terfikir untuk berhenti dan nyaris melakukannya,” kata Tedder.
7. Oprah Winfrey
Dalam temu bual pada 2012, pengacara popular ini mengakui pernah mengalami gangguan jiwa ketika melakukan rakaman alih suara.
“Saya perlu menutup mata kerana memandang perkataan dalam setiap muka surat memberi terlampau banyak rangsangan kepada otak.
“Jadi, saya perlu tenangkan diri bagi mengelakkan tercetusnya masalah besar,” katanya.
8. Jennifer Lawrence
Bintang jelita yang mencipta nama menerusi siri Hunger Games ini pernah melakonkan watak pesakit mental dalam filem Silver Linings Playbook.
Dalam kehidupan sebenarnya, Jennifer mengalami gangguan kebimbangan dan menggunakan lakonan sebagai terapi bagi merawat masalah itu.
Pada 2013, Jennifer memberitahu majalah Madame Figaro dia menghadapi masalah itu sejak kanak-kanak.
“Akhirnya saya menemui penyelesaian kepada masalah yang saya tidak pernah fahami dan kini rasa gembira,” katanya.
9. Kristin Stewart
Kristin antara selebriti yang tidak segan berkongsi masalah gangguan kebimbangan kepada umum dan pernah menceritakan pengalaman melalui masalah itu beberapa kali.
“Sewaktu usia 15 hingga 20 tahun, keadaan saya sangat teruk. Setiap hari saya diselubungi kebimbangan dan menjadi ‘control freak’.
“Kalau tidak tahu kesudahan sesuatu perkara, saya akan sakit dan menyendiri,” katanya kepada majalah Marie Claire pada 2015.
Pada 2016, Kristin mendedahkan mengalami simptom gangguan kebimbangan seperti sakit perut dan serangan panik.
10. Kim Kardashian
Kejadian dirompak di Paris dua tahun lalu menyebabkan sosialit ini trauma dan sejak itu dia sentiasa hidup dalam kebimbangan.
Dalam salah satu episod program realiti Keeping Up With the Kardashians, bintang itu meminta bantuan pakar terapi bagi merawat penyakit itu.
“Saya cuma mahu menyelesaikan masalah ini dan hidup seperti biasa. Saya tidak pernah mengalami gangguan kebimbangan dan mahu hidup tenang seperti sebelum ini,” katanya.
Sumber Sukar tidur, bimbang hantui selebriti