SEBAGAI rakan baik, pastinya dia akan sentiasa bersama dengan kita tidak kira dalam keadaan susah ataupun senang.
Bagi pelakon Hanis Zalikha, perkara yang melanda diri sahabat baiknya, Diana Danielle dan suami, membuatkan mereka lebih selesa untuk berbual tentang hal lain dan tidak menyentuh tentang isu yang terjadi itu.
“Diana ada juga bertanya sama ada saya tahu apa yang sedang berlaku sekarang dan saya kata padanya yang saya tahu.
“Tetapi saya tak nak sentuh atau mengulas apa-apa mengenainya dan lebih selesa berborak mengenai perkara lain,” katanya dipetik daripada mStar Online.
Hanis turut memberitahu bahawa dia sangat yakin teman baiknya itu juga turut lebih selesa jika mereka membincangkan urusan lain kerana dia tetap akan menyokong pelakon itu dan akan sentiasa berada sisisinya.
Namun, Hanis enggan mengulas ataupun komen lanjut isu Datuk Farid Kamil yang telah memukul serta menyerang anggota polis dan dua orang awam ketika kejadian di Balai Polis Kota Damansara pada 11 Januari lalu.
Hanis yang juga merupakan isteri kepada Hairul Azreen turut menegaskan bahawa dia tidak mahu sama sekali untuk melangkaui batas persahabatan mereka kerana mahu memberi ruang kepada rakannya itu.
“Sekarang pun Diana sibuk dengan penggambaran lagipun saya takut nanti ia melepasi batas persahabatan kami pula.
“Kalau dia sendiri hendak luahkan, dia akan cakap sendiri.
“Sebagai rakan baik, saya kena bagi ruang kepadanya dan bukannya menambahkan lagi tekanan,” ujarnya lagi.
Kini, Hanis sedang sibuk dalam menguruskan anak kesayangan mereka , Yusuf Iskandar, 2, dan dia turut tidak terfikir lagi untuk kembali beraksi di hadapan kamera selepas berehat selama beberapa tahun.
Selain itu, pelakon berusia 28 tahun itu turut mahu memberikan tumpuan kepada perniagaan tudung di bawah jenamanya sendiri, Cakenis yang semakin mendapat sambutan.
“Sekarang ini saya nak tumpukan perhatian sepenuhnya pada Yusuf dan perniagaan tudung saya yang dilihat semakin maju.
“Tak terfikir lagi untuk kembali aktif dalam dunia seni. Biar saya fokus pada dua perkara penting ini terlebih dahulu,” tambahnya lagi.
Kisah keluarga kecil Hanis dan Hairul juga bakal disiarkan di televisyen pada 31 Januari ini menerusi rancangan My Little Heroes yang menampilkan Yusuf dengan kucing kesayangan mereka, Bujibu Chempel!
Sumber: MYNEWSHUB.CC / AH
Sumber Tak mahu rosak hubungan, Hanis tak paksa Diana Danielle