#Teksi4.0: Nilai siapa bantu siapa - Nancy

KUCHING: Pemandu teksi sepatutnya boleh menilai pihak manakah yang sebenarnya membantu mereka, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri.

“Ini mesej saya kepada (Datuk) Shamsubahrin (Penasihat Big Blue Taxi Facilities), dialah yang mengenakan caj kepada pemandu teksi lain yang ambil penumpang di KLCC, malah kenakan harga RM5.

"Perkara ini dimaklumkan kepada saya oleh beliau sendiri. Ini bermakna, dialah (Shamsubahrin) yang  menghisap darah pihak teksi sendiri, bukannya mahu tolong,” katanya.

Beliau mengulas tentang kenyataan Shamsubahrin yang mendakwa kononnya 70 peratus daripada keseluruhan pemandu teksi di Malaysia akan mengundi pakatan pembangkang dalam pilihan raya akan datang.

Tambah Nancy, sudah banyak bantuan dan peruntukan disediakan kepada pemandu teksi seperti peruntukan geran RM5,000 kepada pemandu teksi untuk membeli kenderaan baru dalam usaha menaik taraf perkhidmatan mereka.

Inisatif yang diumumkan semasa pembentangan Bajet 2018 itu melibatkan peruntukan keseluruhan RM150 juta dan membolehkan pemandu teksi memilih serta membeli sendiri kenderaan baru, mengikut kemampuan mereka.

Beliau juga mengulangi seruannya untuk mengajak lebih ramai pemandu teksi menggunakan platform e-hailing.

Katanya, pemandu teksi yang menggunakan platform e-hailing lebih beruntung berbanding pemandu Grab atau Uber.

“Sebenarnya, memang kita menggalakkan supaya pemandu teksi menggunakan platform Uber dan Grab kerana mereka boleh mengambil penumpang di tepi jalan atau ‘street hailing’ dan juga e-hailing," tambah Nancy.

Shamsubahrin dalam kenyataanya semalam, meminta kerajaan berhenti menyokong platform e-hailing sehinggalah RUU Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 dan RUU Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2017 dikuatkuasakan.

Beliau juga meminta kerajaan menyediakan peruntukan kepada pemandu teksi untuk menukar enjin teksi mereka kepada enjin elektrik.



Sumber #Teksi4.0: Nilai siapa bantu siapa - Nancy

Post a Comment

Previous Post Next Post