Tujuh SJKT terima peruntukan khas Perdana Menteri

PUTRAJAYA: Sebanyak tujuh Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) hari ini menerima peruntukan khas RM110,000 daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai bantuan tambahan bagi pembinaan bangunan baharu serta pembelian kelengkapan bilik darjah.

Sumbangan disampaikan Menteri Kesihatan, Datuk Seri S Subramaniam yang juga Presiden MIC kepada wakil sekolah berkenaan.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM60,000 diberikan kepada enam sekolah bagi tambahan peruntukan RM1.8 juta yang disalurkan kerajaan sebelum ini untuk pembinaan prasekolah di tujuh SJKT terbabit menerusi Projek Pembinaan Prasekolah tajaan Yayasan Rakyat 1Malaysia.

"Sebanyak enam prasekolah di SJKT ini masing-masing akan menerima peruntukan berjumlah RM10,000 bagi pembelian perabot.

"Prasekolah berkenaan termasuk di SJKT Klebang, Perak; SJKT Ladang Bukit Bertam, Negeri Sembilan dan SJKT Ladang Henrietta, Kedah yang sudah siap dibina dan akan beroperasi pada masa terdekat, manakala tiga lagi di SJKT Ladang Senawang, Negeri Sembilan; SJKT Pasir Gudang, Johor dan SJKT Supramaniya Barathee, Pulang Pinang yang sedang dalam pembinaan," katanya pada sidang media sebelum majlis penyerahan peruntukan berkenaan.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk P Kamalanathan dan Ketua Pengarah Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (SEDIC), Datuk Prof Dr NS Rajendran.

Sementara itu, Dr Subramaniam berkata, sebanyak RM50,000 akan disalurkan kepada SJKT Persiaran Raja Muda Musa, Pelabuhan Klang sebagai tambahan kepada peruntukan khas RM1.2 juta yang diluluskan Perdana Menteri sebelum ini bagi pembinaan bangunan baharu lima tingkat.

Beliau berkata, pada tahun lalu, sebanyak RM10 juta diperuntukkan bagi pembinaan 50 bilik darjah prasekolah di SJKT seluruh negara, namun jumlah itu masih tidak mencukupi untuk menampung kemasukan murid pra sekolah.

"Justeru, sebagai langkah jangka pendek, kerajaan melalui SEDIC sedang menyokong badan bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan program prasekolah. Sebanyak RM7 juta diperuntukkan setiap tahun bagi membayar gaji guru prasekolah ini.

"Melalui inisiatif kerajaan ini, tambahan 7,000 murid berpeluang belajar di prasekolah, sebagai persediaan mereka untuk memasuki sistem pendidikan," katanya.



Sumber Tujuh SJKT terima peruntukan khas Perdana Menteri

Post a Comment

Previous Post Next Post