Keunikan teknologi itu adalah pada data sesebuah aplikasi yang disimpan menggunakan teknologi lejar teragih (distributed ledger technology) yang mana data tersebut disimpan di pelbagai lokasi secara encrypted.
Dengan pelancaran itu, UMP bakal mewujudkan budaya baharu dalam kalangan komuniti kampus sebagai kampus 'tanpa tunai'.
Menurut Naib Canselor, Profesor Datuk Seri Dr Daing Nasir, kemudahan Dompet Mudah Alih-UMP XChain itu sangat istimewa kerana ia membolehkan segala maklumat transaksi disimpan serta sukar untuk digodam oleh pihak luar.
"Pembayaran juga dipindah melalui sistem kod QR (Quick Response) atau Near Field Communication (NFC) yang membolehkan komunikasi dua hala antara peranti.
"Ia juga boleh menyokong penggunaan peranti lain seperti Apple Watch. Penggunaan QR dan NFC dalam semua peranti android dan iOS termasuk Apple Watch boleh digunakan sebagai kaedah pembayaran dompet mudah alih," katanya.Selain itu, UMP Valid8 pula katanya, merupakan satu aplikasi pengesahan ketulenan ijazah berasaskan Kod QR yang akan digunakan untuk mengesahkan sijil ijazah graduan.
Ujar beliau, setiap sijil dilengkapi satu Kod QR yang unik bagi memastikan kesahihan sijil graduan berkenaan.
"Dengan imbasan dari Kod QR ini, ianya akan memaparkan gambar pelajar, nama penuh, program pengajian dan tahun anugerah. Kod QR itu sendiri akan menjadi satu rantaian rekod data blockchain yang sulit selain menyimpan semua maklumat pelajar mengunakan teknologi Blockchain," katanya.
Jelas Daing, sistem yang dibangunkan itu akan mempunyai fungsi yang merekodkan maklumat pendidikan pelajar UMP.
Katanya, aplikasi mudah alih yang dihasilkan dapat mengesahkan kesahihan sesebuah ijazah menggunakan Kod QR.
"Semua data pelajar adalah disimpan dalam bentuk Blockchain yang tidak dapat digodam atau dipalsukan serta UMP Valid8 akan digunakan sepenuhnya pada Konvokesyen UMP tahun ini," katanya.
Daing menambah, penggunaan aplikasi tersebut akan digunakan secara meluas dalam ekosistem Institusi Pendidikan Tinggi Negara dan juga rakan-rakan universiti serta industri di Malaysia dan antarabangsa pada masa akan datang.
Ujarnya, dengan kepakaran ini UMP juga menawarkan khidmat Blockchain Certificate Authentication kepada mana-mana institusi atau agensi yang ingin berkolaborasi.
Dijangka seramai 11,000 pelajar UMP bakal menikmati fungsi terbaru ini untuk melakukan pembayaran di dalam kampus dengan gaya hidup digital yang lebih menyeronokkan.
UMP juga berhasrat meluaskan penggunaan dompet mudah alih ini ke seluruh negeri Pahang dan ke peringkat kebangsaan sebagai menghargai komitmen pihak Bank Muamalat Malaysia Berhad yang bekerjasama dalam membantu memberikan konsultansi kepakaran serta tunjuk ajar bagi menjayakan program Dompet Mudah Alih-Xchain UMP itu.
______________________________________________________________________________
*Awani Rangers ialah inisiatif Astro AWANI bagi menggalakkan pelajar Institut Pengajian Tinggi untuk berkongsi cerita serta menghasilkan bahan berita dan informasi dalam era kewartawanan moden.
**AwaniRangers UMP ialah inisiatif kerjasama strategik Astro AWANI dan Universiti Malaysia Pahang.
Sumber UMP jadi universiti pertama gunakan teknologi 'blockchain'