KUANTAN: Seramai 100 pengamal media daripada pelbagai agensi di negeri ini menyertai taklimat pilihan raya di Dewan Serbaguna Radio Televisyen Malaysia (RTM) Jalan Kemunting di sini, hari ini.
Taklimat selama empat jam anjuran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu disampaikan Pendaftar Akademi Pilihan Raya, Nik Aminudin Nik Shahar Shah dan Penolong Pengarah Pendidikan Pengundi Akademi Pilihan Raya, Abdul Fatah Mohd Pilus.
Taklimat itu diadakan bagi memberi pendedahan mengenai tugas media sepanjang proses pilihan raya umum (PRU) yang bakal berlangsung.
Pada masa sama, semua peserta terdiri daripada wartawan dan jurugambar diberi peluang menyertai sesi simulasi hari pengundian bagi membuktikan ketelusan proses berkenaan.
Jurukamera RTM, Siti Aminah Salleh, 28, berkata taklimat yang jelas disampaikan oleh SPR itu membantu pengamal media memahami proses PRU dengan lebih baik.
"Selain penerangan mengenai maklumat penting ketika PRU, kita dapat mengetahui lebih lanjut mengenai proses pengundian dijalankan melalui simulasi yang ditunjukkan," katanya.
Sementara itu, wartawan Sinar Harian pula, Norazwani Yusof, 35, pula berkata, penerangan yang diberikan membantu pihak media mengetahui peranan dan di mana perlu berada sepanjang PRU berlangsung.
"Penerangan mengenai proses pembubaran Parlimen sehingga pengumuman kemenangan calon yang bertanding dapat membantu memudahkan tugas pihak media," katanya.
Sumber 100 pengamal media Pahang sertai taklimat SPR