Kejayaan ini disusuli pula dengan pementasan teater kanak-kanak berjudul HutanTopia, tahun lalu.
Tahun ini, mereka sekali lagi akan mementaskan teater kanak-kanak berjudul Foodies Paradise di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, jam 3 petang, esok.
STM adalah kumpulan aktivis teater yang menawarkan kelas lakonan dan nyanyian kepada kanak-kanak dan remaja berusia antara lapan hingga 14 tahun.
STM memberikan pembelajaran alternatif sepanjang hayat dalam membantu kanak-kanak dan remaja ini menguasai ilmu lakonan dan nyanyian yang mampu dipraktikkan dalam kehidupan seharian.
Penganjur, Kengkawan Project mengakui, seni persembahan sering dipandang sepi kebanyakan masyarakat tanpa cuba memahami apa yang ingin disampaikan penggiat seni.
Justeru, mereka mengambil inisiatif membantu dengan kapasiti yang ada untuk tampil mendukung karya daripada Sarian Teater Muzikal ini.
Ia kerana persembahan seni terutama sekali dalam kalangan kanak-kanak berjaya mendidik mereka menjadi lebih yakin, berani, bekerja dalam kumpulan, menghormati rakan dan guru-guru serta menjadikan mereka lebih berdisplin.
Pembelajaran ini dilihat dapat membantu mereka di sekolah. Mereka turut berharap ‘Keep Shining Bright’ ini mampu mengangkat seni persembahan kanak-kanak ke peringkat yang lebih tinggi.
Fateha Hanif selaku penulis skrip dan pengarah berkata, cabaran kali ini agak berbeza untuk setiap tahap di mana pelajar tahap 3 diberi cabaran menerusi sebuah monolog dan lagu solo setiap seorang.
“Secara keseluruhannya, pelajar perlu melalui cabaran berada di atas pentas dari mula sehingga selesai cerita.
“Tiada pergerakan keluar dan masuk yang berlaku dan saya berharap mereka mampu melakukan yang terbaik dan berjaya sebagai sebuah kumpulan selepas bekerja keras bersama-sama,” katanya.
Eiza Ali sebagai penulis skrip bersama dan penerbit Foodies Paradise pula berkata, kali ini mereka menitikberatkan proses latihan terhadap semua pelajar.
“Dari awal lagi kami mengadakan latihan yang panjang untuk proses pemahaman kerana naskhah ini walaupun mudah, sebenarnya berat intipatinya.
“Uniknya kami tak perlu buat banyak perubahan kerana apa yang telah kami tulis, anak-anak STM mampu membawa watak yang diamanahkan,” katanya.
Eiza turut menjelaskan cabaran yang perlu dilaluinya sebagai penerbit agak getir apabila beberapa kali perbincangan berkenaan tarikh dan agenda persembahan terpaksa difikirkan lebih mendalam.
“Saya berterima kasih kepada pihak Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) kerana memberi peluang dan ruang untuk anak-anak ini berlatih di sana.
“Tak lupa kepada pihak JKKN yang sentiasa menyokong kami dengan menyediakan ruang persembahan setiap tahun,” katanya.
Guru vokal, Cikgu Shah berkata, lagu yang dipilih agak mencabar kemampuan vokal pelajar untuk persembahan dalam pementasan Foodies Paradise.
“Saya harus menyesuaikan nada orang dewasa dengan nada kanak-kanak berpadanan dengan tahap kemampuan nyanyian mereka.
“Saya harap persembahan kali ini berjalan dengan lancar. Semoga anak-anak ini dapat menggunakan ilmu yang dipelajari sebaik mungkin,” katanya.
Tiada sebarang bayaran masuk dikenakan untuk menonton dan mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut di Facebook dan Instagram Sarian Teater Muzikal.
Sumber Angkat bakat si kecil