Azam martabatkan semula lagu tradisional di pentas AJL

BUKIT JALIL: Penyanyi Wany Hasrita menjadikan Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Ratu Etnik Kreatif, Noraniza Idris sebagai inspirasi ketika merakamkan lagu tradisional, Ewah Ewah.

Kagum dengan persembahan yang ditonjolkan dua penyanyi popular itu, Wany juga berhasrat untuk mengembalikan semula kegemilangan genre muzik itu di pentas berprestij, Anugerah Juara Lagu (AJL).

"Saya percaya lagu etnik kreatif masih mempunyai peminat dan kehadiran Ewah Ewah mengubat kerinduan mereka yang menanti sentuhan terbaru.

"Impian saya besar dan jika rezeki berpihak, saya ingin mengembalikan kegemilangan irama tradisional di pentas AJL, tahun depan. Jika tidak menjadi kenyataan, membolosi separuh akhir sudah cukup untuk membuat saya berpuas hati," katanya.

Wany yang ditemui ketika sesi latihan AJL 32 di Axiata Arena, di sini berkata, percubaannya merakamkan lagu tradisional menjadi bukti awal dia serius mahu dikenali sebagai penyanyi serba boleh.

"Sebagai penyanyi, saya perlu mempelbagaikan bentuk persembahan sekiranya ingin mencari ruang lebih besar. Alhamdulillah, setakat ini saya sudah merakamkan lagu balada dan tradisional.

"Selepas ini, saya merancang untuk merakamkan pula lagu rancak. Insya-Allah, tidak lama lagi, saya akan muncul dengan album mini yang memuatkan dua single terdahulu, selain Ewah Ewah dan sebuah lagu duet bersama Tajul.

"Album itu juga akan menyelitkan sebuah lagi lagu balada yang dihasilkan komposer dari Singapura," kata penyanyi yang mempertaruhkan lagu Menahan Rindu hasil ciptaan Ibnu dan Gouffran pada kemuncak AJL 32, malam esok.



Sumber Azam martabatkan semula lagu tradisional di pentas AJL

Post a Comment

Previous Post Next Post