Pengarah Anggota Bomba dan Penyelamat Selangor Azmi Othman bersama anggotanya meneruskan operasi mencari dan menyelamat tiga lagi mangsa hilang dikhuatiri lemas sekitar Sungai Gasi di Sungai Buloh 20 Februari, 2018. — Foto BernamaKUALA LUMPUR, 20 Feb — “Kaki pancing kampung ini memang tahu lokasi itu tidak selamat dan sedikit bahaya… ini kerana mereka tahu kawasan itu ada kejadian kepala air.
“Itu sebabnya tidak ramai yang memancing di kawasan itu meskipun banyak ikan di situ,” kata seorang penduduk Kampung Paya Jaras Hulu, Adnan Yusof, 53, berkenaan lokasi kejadian lemas melibatkan lima pemancing di Sungai Gasi, berhampiran Kem Sungai Buloh semalam.
Katanya lokasi berkenaan sememangnya bukan pilihan pemancing dari kampung itu tetapi ia menjadi tumpuan kaki pancing dari luar.
Seorang lagi penduduk, Adisman Shamsuddin, 50, berkata paras air di sungai itu tidak menentu dan boleh naik secara mendadak.
Katanya sewaktu kejadian lemas itu, kawasan Kampung Paya Jaras Hulu dan lokasi sekitar tidak hujan.
“Barangkali hujan lebat dari atas menyebabkan berlakunya fenomena kepala air... ini yang menakutkan kerana paras air memang tinggi,” katanya.
Dalam kejadian semalam, arus deras secara tiba-tiba yang melanda sungai itu dipercayai menjadi punca sekumpulan pemancing yang berada di tebingnya hilang dibawa arus. Lima pemancing lemas manakala tiga lagi terselamat dalam kejadian itu.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 5.42 petang.
Semalam, mayat Hashir, 38, seorang warga Indonesia ditemukan kira-kira tujuh kilometer dari lokasi kejadian pada 9.49 malam manakala mayat Jamaluddin Rapawi, 14, yang lengkap berpakaian dijumpai tersangkut pada pokok pukul 1.26 pagi tadi, kira-kira sembilan kilometer dari lokasi kejadian di Sungai Gasi.
Mayat seorang lagi mangsa, Silawati Zailan ditemukan kira-kira 12.30 tengah hari tadi, diikuti Jeleha Hashim, 48, kira-kira 3.45 petang dan Rapawi Jum’ada, 37, kira-kira 4.35 petang.
Sementara itu, Pengarah JBPM Selangor Azmi Osman berkata laluan air di sungai berkenaan mampu mencecah ketinggian sehingga tujuh meter.
“Jika dilihat hari biasa, air hanya pada paras kaki...ini yang menakutkan. Orang ramai diminta elak lakukan aktiviti riadah di air pada waktu ini kerana cuaca tidak menentu,” katanya.
Sementara itu, Azmi berkata berdasarkan statistik, sehingga hari ini 12 orang dilaporkan mati lemas di Selangor sejak Januari lalu.
“Seramai 10 mangsa meninggal dunia ketika menjalani aktiviti di sungai manakala dua lagi di tali air,” katanya. — Bernama
Sumber Bahaya kepala air, pemancing elak Sungai Gasi