KUALA LUMPUR, 22 Feb — Penyanyi rap Namewee hari ini ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung sebuah klip video yang berunsur hinaan terhadap agama serta boleh membawa implikasi negatif terhadap perpaduan dan keharmonian kaum di negara ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee, 34, ditahan pada 2.45 petang tadi.
“Beliau ditahan susulan empat laporan polis yang diterima berhubung klip video berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Sekyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Namawee memuat naik klip video itu, yang didakwanya bersempena Tahun Baharu Cina, dengan memaparkan sekumpulan individu memakai topeng anjing sambil menampilkan aksi tarian berbaur lucah berdekatan Bangunan Perdana Putra yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
Ahad lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya telah membuka kertas siasatan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menyiasat klip video kontroversi berkenaan. — Bernama
Sumber Bikin video kontroversi, Namewee ditahan polis