Hilangnya suara anak yang dirindui, keletahnya meminta susu dan makanan kegemarannya. Sehingga ke saat ini, ibu bapanya masih terasa akan kehadiran si anak. Sungguh kami bersimpati dengan dugaan yang menimpa keluarga ini. Semoga keluarga Muhammad Fahdli tabah menghadapinya.
ASSALAMUALAIKUM semua sahabat, ahli syurga. Terima kasih banyak-banyak kepada sahabat-sahabat yang hdir di Masjid BTHO dan tanah perkuburan tempoh hari dan juga kepada yang telah mendoakan kami sekeluarga. Jasa anda memang tidak dapat kami balas dengan kata-kata. Semoga kalian semua dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur. Aminn.
Punca virus yang menyerang otak dia masih lagi dalam siasatan doktor. Nama penyakit dia dikenali sebagai Meningitis with Shock Bronchopnemonia, sejenis penyakit radang otak dan jangkitan virus di paru-paru. Virus itu merebak dari otak ke paru-paru dan terus ke jantung dengan sekejap.
Rupa-rupanya dia telah dimasukkan ke bilik khas untuk buat CPR. Doktor beritahu denyutan jantung dia sudah lemah dan perlu dibuat CPR. Hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana perasaan kami pada ketika itu. Saya terus menghubungi ibu saya untuk memohon mendoakan Fayyadh. Waktu ini dah jam lapan pagi.
Prosedur biasa, doktor akan buat CPR selama 30 minit sahaja. Kemudian mereka akan berhenti, kalau denyutan jantung masih tidak berubah dan mereka memang sudah tidak dapat melakukan apa-apa lagi.
Lebih kurang jam 8.40 pagi, doktor memanggil kami untuk berbincang dalam satu bilik. Mereka kata jantung Fayyadh betul-betul lemah. Tetapi saya meminta mereka sambung buat CPR lagi sebab saya tahu anak saya itu kuat.
Terima kasih kepada semua yang mendoakan. Ada yang mak saya beritahu, rakan di Jordon pun turut mendoakan. Masa ini dah ramai ahli keluarga kami sampai di wad kecemasan tersebut. Selepas hampir dua jam, semasa pemindahan katil ke ICU, tiba-tiba denyutan jantung Fayyadh mulai perlahan. Doktor buat CPR untuk kali kedua selama 30 minit. Akhirnya denyutan jantung dia tetap lemah.
Sepanjang berada di zon merah, kami berdua memang sentiasa temankan dia, dan berbisik pada dia.
"Fayyadh, papa dan mamam ada kat tepi Fayyadh ni. Fayyadh buatlah suka hati Fayyadh nak macam mana okey. Papa dan mama okey saja,"
Fayyadh sudah pandai mengucap tetapi kami tetap berbisik pada dia kalimah Allah dan Rasullullah dan didengarkan dengan surah Yassin sepanjang berada dalam bilik kecemasan itu. Tetapi Fayyadh telah memilih untuk pergi meninggalkan kami semua.
"Ya Allah Ya Tuhanku, aku memohon pada Mu, kuatkanlah hati aku dan isteri untuk menerima dugaan ini. Engkau sahajalah tempat kami bergantung dna ke Engkaulah kami kembali..."
Terima kasih banyak kepada semua yang mendoakan kami. Terima kasih tak terhingga kepada semua doktor yang terlibat. Ada doktor yang tidak dapat menahan sebak, mengalirkan air mata. Sungguh besar jasa kalian yang cuba menyelamatkan anak syurga ini. Tak terbalas jasa kalian. Semoga kalian juga ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman kelak.- Doktor Aliyaa
- Doktor Sangeeta
- Doktor Zarif
- Doktor Shafinaz
- Bro Shafiq
- Doktor Wong Yee Min
- Dan ada lagi tiga-empat orang yang belum dikenalpasti lagi nama mereka.
"Fayyadh, ini nanti mama, papa, doktor akan tolong pulihkan Fayyadh. Tapi siapa yang pertama sekali akan tolong Fayyadh?"
Allahuakbar, walau sakit seperti itu, tengah berlawan dengan sakit, dia tetap boleh menjawab dengan baik.
Memang terkesan sangat dengan kehilangan dia. Sebab dia budak yang keletah, setiap gerak geri dia, apa yang dia lakukan semua tertinggal dalam ingatan memori keluarga dia dan orang-orang yang pernah berjumpa dengan dia. Dia memang seornag insan yang istimewa dan terpilih. Memang sangat merindui suara dia.
"Boleh papa? Bolehlah," katanya bila dia nak meminta sesuatu atau nak pergi ke mana-mana.
Bila saya hantar dia ke sekolah, sebelum turun dari motosikal dia kata, "Salam papa, janji, cap, sayang papa," katanya memeluk saya setiap kali perpisahan saya dan dia, dia akan buat begini. Tetapi Fayyadh tinggalkan saya tanpa sempat saya nak buat begini pada dia.Sangat merindui suara dia meminta susu. "Papa, nak shushu. Papa nak shushu.." tetapi masa itu saya sibuk dengan handphone tak menghiraukan dia. Terkilan sangat rasa. Bila pergi kedai, dia nampak roti coklat, siap-siap dia letak atas kaunter. Bila Fayyadh nampak saya beli atau makan coklat, dia datang ke saya tersipu-sipu.
"Papa, nak one je. Eh silap-silap. Nak two jer. Bolehlah papa, nak two je," sebab mama dia memang tak bagi dia makan coklat sangat. Saya yang bagi. Dia memang pandai nak ambil peluang ini. Dengan saya sajalah dia dapat.
Kalau sempat saya balik rumah sebelum maghrib, saya beritahu dia. "Yadh, jom pergi surau cepat. Kalau tak, nanti papa tinggal," cepat-cepat dia kelam kabut tanya mama dia, "Mama cepatlah mama. Jubah mana? Jubah mana?"
Bila saya dan isteri sama-sama berbincang tentang sesuatu yang tidak sependapat, tiba-tiba dia datang. "Jangan gaduhlah mama papa," katanya. Padahal kami bertegang cerita tentang iPhone dan Samsung saja.Dari Fayyadh tak tahu cara nak buka tv dalam kereta, sampailah dia diajar cara nak mainkan cerita Doraemon kesukaan dia. Cerita filem pemergian Doraemon dari hidup Nobita. Jadi bila masuk dalam kereta saja, dia terus buka untuk tontotan dia dan adik. Tetapi sekarang Fayyadh dah tak ada, kami asyik terasa akan kehadiran Fayyadh yang sedang tengok cerita Doraemon di belakang sambil tergelak-gelak.
Tetapi Allah lebih menyayangi dia dan Allah adalah sebaik perancang. Pasti ada hikmah di sebalik kejadian ini. Saya sangat bersyukur dengan anugerah ini Ya ALlah. Terima kasih kerana telah meminjamkan kami anak syurga ini selama tiga tahun lima bulan dua hari.
Sumber 'Fayyadh nak masuk syurga'