Guardiola didakwa FA England kerana reben kuning

PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola berdepan hukuman daripada Persatuan Bola Sepak (FA) England kerana mengenakan mesej politik dengan memakai reben kuning.

Badan induk bola sepak Inggeris turut mendakwanya dengan menyifatkan bekas pengendali Barcelona itu melanggar etika FA serta peraturan pemakaian dan pengiklanannya.

Pengurus berusia 47 tahun itu, yang mana anak buahnya akan berdepan tentangan Arsenal dalam perlawanan akhir Piala Carabao pada Ahad, diberi tempoh sehingga 6 petang Isnin, 5 Mac (waktu England) untuk memberi maklum balas terhadap dakwaan tersebut.

Sebelum itu juga Citizens akan berkunjung ke Stadium Emirates untuk bertemu tuan rumah The Gunners untuk aksi Liga Perdana Inggeris pada awal pagi Jumaat (waktu tempatan), selain bersedia untuk menerima pelawat dari London, Chelsea hujung minggu depan.

Reben kuning disematkan di dadanya sebagai tanda solidaritinya kepada para pejuang pembebasan Catalunya yang ditahan, secara spesifik bermula sejak penahanan Jordi Sanchez dan Jordi Cuixart yang menyerahkan referendum pembebasan wilayah Catalan pada Oktober lalu.

Dia dilahirkan di bandar Santpedor dan menjalani kehidupan hebat sepanjang 20 tahun bersama Barcelona sebagai pemain juga kemudiannya jurulatih dan pengurus, sebelum ini pernah menjelaskan sebabnya memakai riben tersebut.

Umum diketahui bahawa Guardiola lantang dalam memperjuangkan pembebasan Catalunya dan dakwaan FA England itu merupakan yang kedua diterimanya berkaitan isu politik.

Ketika sidang media pra-perlawanan akhir Piala Carabao, dia juga memaklumkan bahawa pesawat peribadi keluarganya telah digeledah pihak berkuasa Sepanyol, Guardia Civil, sejurus mendarat di Lapangan Terbang El Prat, awal minggu ini.

Bagaimanapun, seawal Disember Guardiola telah menyatakan kesediaannya untuk berdepan apa sahaja tindakan, daripada Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) mahupun Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) atas pendiriannya.

“Saya lakukannya kerana di Sepanyol ada dua orang, yang mempertahankan sesuatu seperti undi, sesuatu yang tidak dipersetujui mereka yang berada di tampuk kuasa, berada dalam penjara. Ia tidak adil.

“Untuk membuat pemberontakan atau seumpamanya, anda perlu jadi kuat untuk berada dalam penjara. Dan mereka masih di sana. Jadi, selagi mereka tidak dibebaskan, ia akan selalu dikongsi di sini (sambil menunjukkan riben yang dipakainya),” tegas Guardiola.



Sumber Guardiola didakwa FA England kerana reben kuning

Post a Comment

Previous Post Next Post