Kertas siasatan kes pelajar gantung diri diserahkan kepada pendakwa raya - Polis

BUTTERWORTH: Kertas siasatan kes pelajar tingkatan dua yang meninggal dunia selepas cuba membunuh diri akibat dituduh mencuri telefon bimbit guru telah dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supritendan Shafee Abd Samad dalam kenyataannya berkata  pihak polis telah menjalankan siasatan lanjut selepas menerima laporan awal daripada pihak hospital.

Katanya kes berkenaan  disiasat di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan.

BACA: Pelajar kecewa dituduh curi telefon bimbit hingga gantung diri meninggal dunia

Remaja 14 tahun itu meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Hospital Seberang Jaya (HSJ) awal pagi tadi selepas dirawat sejak 24 Januari lalu.

Sebelum ini pelajar terbabit dimasukkan ke Hospital Sungai Bakap sebelum dipindahkan ke HSJ.

Dalam kejadian 22 Januari lalu, remaja perempuan itu dikatakan cuba membunuh diri dengan menggantung dirinya di dalam biliknya akibat tertekan selepas dituduh mencuri telefon bimbit  seorang guru di sekolah.

Kejadian itu, bagaimanapun disedarinya bapanya yang kemudian bertindak pantas  menyelamatkan anaknya itu sebelum menghantar remaja itu ke Hospital.

Remaja itu juga didakwa  meninggalkan sekeping  nota untuk kedua ibu bapanya  mengaku bahawa dia tidak mencuri telefon bimbit tersebut.

Berikutan kejadian itu, Persatuan Tamilar Kural Malaysia dan keluarga pelajar terbabit kemudian membuat laporan polis  pada  Jumaat lalu bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan.

Hasil bedah siasat yang dijalankan hospital mengesahkan kematian Vasanthapiriya adalah disebabkan gantung (gantung diri).



Sumber Kertas siasatan kes pelajar gantung diri diserahkan kepada pendakwa raya - Polis

Post a Comment

Previous Post Next Post