KTMB guna jadual baru komuter mulai esok

Perkhidmatan KTM Komuter akan beroperasi menggunakan jadual waktu baru berkuat kuasa 3 Februari 2018. ― Foto oleh Yusof Mat IsaPerkhidmatan KTM Komuter akan beroperasi menggunakan jadual waktu baru berkuat kuasa 3 Februari 2018. ― Foto oleh Yusof Mat IsaKUALA LUMPUR, 2 Feb — Perkhidmatan KTM Komuter akan beroperasi menggunakan jadual waktu baharu berkuat kuasa esok seiring maklum balas pengguna dan nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) berkenaan jadual waktu sekarang yang digunakan sejak 22 Dis lepas.

Pengurus besar perkhidmatan KTM Komuter Khair Johari Ishak berkata perubahan jadual waktu itu bagi memastikan perkhidmatan lebih lancar sepanjang penutupan satu landasan antara Stesen KL Sentral – Stesen Putra dan Stesen Kuang – Stesen Sungai Buloh, berikutan kerja-kerja Projek Menaik Taraf Infrastruktur Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) yang dijangka siap November 2019.

“KTM Berhad (KTMB) komited dan prihatin untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pengguna KTM Komuter walaupun kami berhadapan dengan cabaran untuk memastikan kerja-kerja projek dijalankan mengikut perancangan dan pada masa yang sama perlu memenuhi keperluan pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jadual waktu laluan bagi Pelabuhan Klang — Tanjung Malim — Pelabuhan Klang akan mengalami perubahan berikutan kekerapan tren yang baharu iaitu setiap 30 minit sepanjang hari berbanding sekarang iaitu setiap 15 hingga 30 minit pada waktu puncak dan 60 minit di luar waktu puncak.

Jadual waktu bagi laluan Pulau Sebang — Batu Caves — Pulau Sebang berlaku perubahan berikutan perubahan corak operasi tren, tiada perkhidmatan terus dari Pulau Sebang ke Batu Caves dan sebaliknya mulai esok.

Perkhidmatan tren dari Pulau Sebang akan ditamatkan di Stesen KL Sentral dan berpatah balik ke laluan Pulau Sebang dengan kekerapan tren setiap 20 minit (waktu puncak) dan 30 hingga 90 minit (waktu luar puncak).

Perkhidmatan tren dari Batu Caves akan ditamatkan di Stesen Sentul dan berpatah balik ke laluan Batu Caves dengan kekerapan tren setiap 20 minit (waktu puncak) dan 40 minit (waktu luar puncak).

Bas perantara dengan kekerapan 20 hingga 30 minit disediakan kepada penumpang yang ingin menyambung perjalanan ke laluan Pulau Sebang atau Batu Caves untuk membolehkan penumpang dari Stesen KL Sentral ke Stesen Sentul atau dari Stesen Sentul ke Stesen KL Sentral atau LRT Sentul menyambung perjalanan dengan tren untuk ke destinasi masing-masing.

Berikutan perubahan ini juga, tiada perkhidmatan tren secara terus ke laluan Pulau Sebang atau Batu Caves untuk penumpang yang menaiki Komuter dari stesen Kuala Lumpur, Bank Negara dan Putra.

Pengguna dinasihatkan menaiki tren dari laluan Tanjung Malim untuk ke Stesen KL Sentral atau perkhidmatan tren Rapid KL (Laluan Sri Petaling) sebagai alternatif untuk ke destinasi masing-masing.

"KTMB amat menghargai dan mengharapkan pemahaman serta sokongan pengguna setia perkhidmatan KTM Komuter dalam tempoh pelaksanaan projek KVDT berikutan kesulitan yang terpaksa ditempoh pada masa kini untuk kemudahan masa depan,” katanya.

Jadual waktu baharu itu boleh dirujuk atau dimuat turun di laman rasmi KTMB di www.ktmb.com.my atau hubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-2267 1200 atau twitter @ktm_berhad untuk informasi lanjut. — Bernama



Sumber KTMB guna jadual baru komuter mulai esok

Post a Comment

Previous Post Next Post