PUTRAJAYA, 23 Feb — Mahkamah Rayuan perlu menerima pengiktirafan kehakiman tentang hakikat bahawa Peguam Negara (AG) telah membuat keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak melakukan sebarang kesalahan dalam isu 1MDB, kata seorang Hakim Mahkamah Rayuan dalam penghakimannya.
Dalam penghakiman setebal 33 muka surat, Datuk Yaacob Md Sam berkata dapatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tentang perkara itu dilapor secara meluas serta terkandung dalam domain awam yang tidak boleh sama sekali dipertikai.
Katanya, mahkamah itu berpendapat Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dari segi fakta atau undang-udang dalam menunaikan budi bicaranya mengenakan injunksi terhadap Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua Kiam Wee atas alasan pembelaan dirinya (Pua) tidak boleh berjaya dengan wujudnya bukti, terutama tentang keputusan AG itu.
“Oleh itu, memang sewajarnyalah dakwaan bahawa dapatan itu bersifat jahat juga tidak harus dilayan sebagai suatu pandangan serius,” kata beliau sambil menjelaskan bahawa fakta yang diberi pengiktirafan kehakiman itu wujud dalam rayuan Najib.
Beliau berkata apabila sesuatu fakta diberi pengiktirafan kehakiman oleh mahkamah, tiada bukti perlu dikemukakan bagi membuktikan kewujudannya.
Yaacob adalah antara anggota panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang bersidang pada 14 Februari tahun ini dan membuat keputusan tentang rayuan Pua terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung saman fitnah difailkan Najib terhadapnya (Pua).
Panel hakim itu menolak rayuan Pua dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memberi kepada Najib injunksi sementara dua belah pihak terhadap Pua berhubung satu klip video fitnah berkaitan pembentangan satu rang Undang-udang Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU355.
Dalam penghakimannya, Yaacob berkata Seksyen 56 Akta Keterangan 1950 memperuntukkan satu jendela perundangan, yang melaluinya, mahkamah boleh membuat keputusan untuk menerima pengiktirafan kehakiman tentang sesuatu fakta atau perkara, yang mana tiada pembuktian selanjutnya perlu dikemukakan bagi membuktikan kewujudannya.
Yaacob juga berkata keputusan AG itu terletak dalam rangka kerja Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, Najib melunaskan syarat yang diwajibkan ke atasnya untuk diberi injunksi sementara terhadap Pua sementara menunggu keputusan kes saman fitnahnya terhadap Pua.
”Kami bersetuju sepenuhnya dengan hujah peguam yang arif bagi pihak plaintif (Najib) bahawa keseluruhan isu 1MDB telah diteliti dan disiasat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang dilantik Parlimen,” kata Yaacob.
Beliau berkata siasatan juga dilakukan SPRM, Polis Diraja Malaysia, Bank Negara dan Jabatan Peguam Negara (AGC) , yang keputusannya diumumkan kepada orang ramai oleh AGC bahawa Najib tidak melakukan sebarang kesalahan berhubung dakwaan berkaitan 1MDB.
Yaacob berkata dakwaan Pua tentang kewujudan pakatan sulit antara Najib, Barisan Nasional (BN) dan PAS berkaitan RUU355 adalah andaian semata-mata dan perkara itu terletak sepenuhnya pada kuasa mutlak dan budi bicara yang Dipertua Dewan Rakyat untuk membuat keputusan tentang penerimaan dan urusan Dewan itu sama ada membenarkan atau menolak sesuatu rang undang-undang.
Kata hakim itu, setelah meneliti pembelaan diri Pua, jelas didapati bahawa beliau bukannya pembuat dokumen berkenaan dan dokumen itu merupakan keterangan dengar cakap yang tidak terdapat dalam pengetahuan peribadi Pua.
Najib menyaman Pua atas kedudukan peribadi beliau dengan mendakwa Pua membuat kenyataan fitnah terhadapnya dalam video secara langsung berkaitan pembentangan RUU355.
Perdana menteri mendakwa klip video yang dimuat naik oleh Pua atau ejennya dalam laman Facebooknya sepanjang dua minit, 21 saat bertajuk ‘BN Govt abandons all Bills to give precedence to PAS RUU355 Private Member’s Bill,’ boleh diakses secara meluas dan percuma melalui Internet.
Pada 21 April tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Najib bagi mendapatkan injunksi sebelah pihak untuk menghalang Pua daripada terus menyiarkan perkataan yang sama atau serupa dan pada 4 Ogos tahun lepas, perdana menteri juga diberi injunksi sementara dua belah pihak oleh Mahkamah Tinggi. — Bernama
Sumber Mahkamah setuju Najib tidak salah kes 1MDB