Menerusi satu catatan di akaun Instagram miliknya, petarung dari Ireland itu berkata, dia sudah pun menghantar namanya untuk menentang Frankie Edgar, selepas Max Holloway menarik diri.
Bagaimanapun, dia dimaklumkan bahawa pihak UFC tidak sempat untuk mengumpul wang pembayaran yang secukupnya jika McGregor menyertai pertarungan itu.
“Saya sudah teruja untuk menyertai pada saat akhir, dan bertarung dalam kategori featherweight.
“Tolonglah hormati segala usaha yang saya buat selama ini di luar gelanggang, di samping berlawan.
“Saya ada di sini. Keputusan di tangan mereka (UFC) untuk mendapatkan saya, kerana saya ada di sini. Yang benar, juara segala juara,” katanya.Selain itu, juara dunia lightweight UFC itu juga sekali lagi mengesahkan dia akan kembali bertarung.
“Saya akan berlawan lagi. Noktah. Saya yang terbaik dalam (sukan) ini,” tegas McGregor.
McGregor pada Disember lalu mengumumkan akan kembali ke gelanggang MMA selepas gagal mempamerkan aksi cemerlang dalam arena tinju.
BACA: Conor McGregor umum akan kembali ke gelanggang MMA
Ketika ini, McGregor yang mempunyai rekod kemenangan 21-3 itu masih kekal di bawah kontrak UFC.
Kali terakhir McGregor bertarung ialah dengan peninju Amerika Syarikat, Floyd Mayweather pada Ogos lalu.
Dalam pertarungan itu, dia tewas dengan Mayweather menerusi keputusan knockout teknikal (TKO) di pusingan ke-10.
Keputusan tersebut melebarkan rekod Mayweather kepada 50-0, memecahkan rekod 49-0 oleh peninju lagenda Rocky Marciano.
Sumber MMA: UFC tolak tawaran saya untuk berlawan Mac ini - Conor McGregor