Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Suprintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, lelaki berusia 43 tahun itu menyedari ditipu selepas gagal mendapatkan kembali wangnya yang konon digunakan sebagai jaminan penyelesaian kes dan mengelak daripada ditangkap oleh pihak polis.
Menurut Mohd Wazir, kejadian berlaku pada 23 Januari lalu apabila mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai pekerja sebuah bank dan memberitahu dia mempunyai ansuran bulanan pinjaman tertunggak selama tiga bulan.
"Seorang individu bernama Osman Hassan menghubungi mangsa yang menyatakan dia mempunyai hutang sebanyak RM30,000 dengan kadar bayaran ansuran bulanan RM675.
"Namun, mangsa menafikan dakwaan itu sebelum suspek menyambungkan panggilan itu kononnya ke Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dan kemudian disambut seorang lagi suspek yang menyamar sebagai pegawai polis," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.Beliau berkata, mangsa kemudian memberikan maklumat akaun termasuk, kata laluan bank dan maklumat perbankan internet Bank Islam kepada 'pegawai polis' berkenaan.
"Mangsa juga diarahkan memasukkan wang ke dalam akaun miliknya sendiri sebagai wang jaminan untuk menyelesaikan kes mangsa yang dikatakan disiasat oleh pihak polis IPK Terengganu.
"Di dalam akaun Bank Islam, tersimpan wang milik mangsa berjumlah RM11,100. Mangsa juga memasukkan wang secara berperingkat iaitu RM1,000, RM4,000 dan RM5,000 ke dalam akaun yang sama," katanya.
Katanya, ketika mangsa memasukkan wang ke dalam akaun Bank Islam, dia mendapati ada transaksi pindahan wang ke tiga akuan yang tidak dikenali berjumlah RM23,245.
"Berasa ditipu, mangsa kemudian membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan pada 31 Januari lalu. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
"Modus operandi kes ini adalah suspek mendorong mangsa untuk membuat bayaran sebagai wang jaminan penyelesaian kes dan mengelak daripada ditangkap oleh pihak polis," katanya.
Sumber Operator loji kerugian RM23,245 ditipu Macau Scam