Peserta Israel dijemput agensi PBB, bukan Malaysia, kata Anifah

Menteri luar negeri berkata peserta Israel di forum WUF9 baru-baru ini dijemput agensi PBB yang menganjurkan program itu.

anifah-aman-united-nationPETALING JAYA: Kerajaan menjelaskan peserta Israel di Forum Bandar Sedunia ke-9 (WUF9) yang diadakan di ibu negara baru-baru ini dijemput agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menganjurkan program itu.

Menteri Luar Negeri Datuk Seri Anifah Aman berkata surat jemputan kepada Israel ditandatangani pengarah eksekutif Program Penempatan Manusia PBB (UN-Habitat), selaras dengan Perjanjian Negara Tuan Rumah yang ditandatangani organisasi itu dan Malaysia.

Anifah berkata perjanjian tersebut syarat penganjuran persidangan PBB di luar ibu pejabat pertubuhan dunia itu.

“Perkara 3 perjanjian tersebut diantaranya menyatakan penyertaan dalam forum itu dibuka antara lainnya kepada seluruh keanggotaan PBB dan mana-mana agensi khususnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata oleh itu tohmahan kerajaan menjalin hubungan dengan Israel melalui WUF9 tidak timbul dan menegaskan pendirian kerajaan terhadap Israel tidak berubah.

“Apa jua penyataan sebaliknya hanya sekadar membuktikan niat jahat dan berbahaya,” kata Anifah.

Kehadiran bekas timbalan duta Israel ke PBB, David Roet dan delegasi rasmi negara itu ke WUF9 yang berlangsung 7-13 Februari lalu mencetuskan kontroversi dan mengundang kritikan pembangkang.

Roet dilaporkan memasuki Malaysia menggunakan pasport diplomatik Israel dan turut mengadakan pertemuan dengan pegawai kerajaan Malaysia.

Anifah berkata WUF9 menyaksikan penyertaan lebih 25,000 orang dan perwakilan peringkat menteri dari 69 negara.

“Pelbagai pihak telah menekankan bahawa WUF9 telah dikelolakan dengan jayanya. Forum ini telah berjaya meningkatkan profil Malaysia dan mempamerkan pencapaian Malaysia mempromosi, menyuara dan melaksanakan ‘New Urban Agenda’,” katanya.

Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi dengan Israel dan enggan mengiktiraf Israel sehingga satu perjanjian damai dicapai untuk merealisasikan sebuah negara Palestin. Kedua-dua negara adalah negara anggota PBB.

Bagaimanapun, Malaysia dilaporkan membenarkan lawatan keagamaan terhad ke Israel oleh penganut agama tertentu. Pada 2015, tindakan kerajaan enggan memberikan visa kepada pasukan pelayar Israel untuk menyertai kejohanan kapal layar dunia di Langkawi mengundang kecaman ramai pihak.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



Sumber Peserta Israel dijemput agensi PBB, bukan Malaysia, kata Anifah

Post a Comment

Previous Post Next Post