Pesta Menuai: “Padi Adalah Perempuan”

Catatan ini pendek sahaja tentang Pesta Menuai di Kampung Simoi Lama, Pos Lenjang.

Empat puluh lima minit dari jalan besar menuju ke dalam kampung melalui jalan lori balak bertanah merah, kami sampai di rumah komuniti Kampung Simoi Lama. Dialu-alukan meriah sekampung, dipakaikan topi mengkuang dan satu lagi melilit badan entah apa namanya. Dijamu nasi yang dibungkus dalam daun larik, wangi amat. Selesai urusan makan minum, Kak Nor menunjukan cara-cara memproses padi selepas menuai.

Memijak untuk mengasingkannya dari tangkai, menggoreng/sangai, menumbuk, menampi untuk membuang kulit padi, menampi sekali lagi untuk mengasing padi yang belum hancur dan menampi sekali lagi untuk mendapatkan kualiti beras yang baik.

Beras yang terhasil boleh terus dimasak, disimpan untuk kegunaan hari esok dan ada juga yang disangai – katanya beras yang disangai atas api lebih wangi.

Semua proses ini dilakukan oleh perempuan. Gerakan memijak, menumbuk dan menampi membuat kita khayal, penuh berseni dan bertenaga. Aku paling suka cara mereka menumbuk – selang seli empat alu dengan laju, dengan muzik yang terhasil, dengan ketukan tanda alu yang lain akan masuk menumbuk. Synchronization best gila.

Esok harinya, kami ke tempat tanaman padi. Jauh sekali beza dengan sawah padi yang mainstream atau padi huma bertingkat di bukit. Ianya padi didalam hutan.

11 jenis padi ditanam termasuk pulut hitam. Alat tuai yang dapat kami merasa menggunanya. Penanaman padi sebelumnya akan bermula dengan tanaman tembakau, jagung dan satu lagi aku lupa, semuanya ada peranan tersendiri. Ada tempoh-tempohnya, dan semuanya akan dituai ikut peringkat masing-masing. Sungguh seasonal harvesting.

Tanah tanaman padi juga akan digunakan sekali sahaja, selepas itu mereka akan membuka tanah tanaman baru. Tanah yang lama akan dibiarkan pulih sehingga lima tahun untuk restore nutrisi penuh alami.

Sewaktu padi di tangan masing-masing cukup satu gemal, padi akan dikumpulkan satu tempat. Ketika meletakkan padi, Kak Nor pun berkata; padi tak boleh dicampak hempas, kena letak dengan perlahan-lahan kerana padi adalah perempuan.

Menganga juga aku.

Padi adalah perempuan. Layanan kepadanya perlu dengan cara terhormat. Lelaki cuma akan terlibat dengan tanaman padi di awal proses, buka tanah dan sedia tapak semaian. Menanam sehingga dapat dimakan, semuanya dilakukan perempuan. Ia seperti hubungan antara suami dan isteri mendapatkan anak.

Catatan ini pendek sahaja kan? Ianya adalah proses yang indah amat. Sebutir nasi penuh kepercayaan dan tertibnya tersendiri. Yang dimakan kenyang bukan saja karbohidrat, tetapi kerjasama dan kerja keras. Mungkin itulah sebab hati mereka sentiasa baik dan bersederhana menggunakan hutan sebagai sumber.

Usai musim menuai, keraian sewang menggetar menggoyang lantai rumah dari buluh, pinang dan rotan. Kegembiraan dan kesyukuran dirai.

Hutan kini penuh serakah, bila-bila sahaja keindahan gaya hidup begini boleh tamat. Segalanya instant – balak adalah tunai, dan tunai adalah raja. Ironinya, majoriti pelaku belajar di sekolah. Mungkin betul, berpelajaran tinggi tak tentu lagi terdidik.

Mungkin sekumpulan manusia saja yang kekal merenung-renung, belajar dari satu sama lain dan berharap segalanya kekal.

Terima kasih atas peluang ini, Komuniti Orang Asli Pos Lenjang dan Mat Saman Kati.

Alynn Sharuddin


Sumber Pesta Menuai: “Padi Adalah Perempuan”

Post a Comment

Previous Post Next Post