Ronaldo jaring gol ke-100 di Liga Juara-Juara

MADRID: Cristiano Ronaldo menjaringkan dua gol ketika Real Madrid bangkit mengejutkan Paris Saint-Germain 3-1 pada pertemuan pertama dua pasukan gergasi Liga Juara-Juara dalam kelompok 16 terakhir, sebentar tadi.

Ronaldo menjaringkan gol ke-100 saingan Liga Juara-Juara untuk juara bertahan Real, menerusi sepakan penalti, sebelum tamat babak pertama bagi memadamkan jaringan pembukaan Adrien Rabiot untuk kelab Perancis itu, hasil umpanan Neymar.

Bintang Portugal itu kemudian meledak gol keduanya ketika permainan berbaki tujuh minit, disusuli jaringan Marcelo yang memberi bekalan selesa buat Real menjelang aksi timbal balik di Paris pada 6 Mac ini.

Penyerang Real, Cristiano Ronaldo (kiri) cuba dihalang pemain PSG, Presnel Kimpembe ketika melakukan percubaan pada aksi Liga Juara-Juara di Santiago Bernabeu, awal pagi tadi. - Foto AFP

"Hari-hari sebegini akan diingati, dan cara yang lebih baik untuk melakukannya ialah dengan menunjukkan karakter seperti kami tunjukkan," kata kapten Real, Sergio Ramos.

"Kami perlu terus bermain begini, dengan keazaman untuk mempertahankan Liga Juara-Juara. Anda tidak boleh mengharapkan Real Madrid untuk mati dan berkubur."

Sementara itu Rabiot berkata PSG masih dibelenggu masalah yang sama.

"Kami sentiasa berkata perkara yang sama dan kami sering terperangkap dengan cara yang sama," kata Rabiot.

"Masalahnya ialah ia begitu mudah menjaringkan lapan gol ke atas Dijon, atau empat gol dalam perlawanan liga. Namun dalam perlawanan begini anda perlu menyerlah." - AFP



Sumber Ronaldo jaring gol ke-100 di Liga Juara-Juara

Post a Comment

Previous Post Next Post