Tinggal sehelai sepinggang angkara pengganas

LAHAD DATU: Ketika tragedi pencerobohan pengganas Sulu lima tahun lalu, Edie Ahmad Abdul, 50, tinggal sehelai sepinggang selepas rumahnya di Kampung Tanjung Batu di FELDA Sahabat, musnah susulan pertempuran dengan pasukan keselamatan.

"Tiada apa yang tinggal ketika itu, semua harta musnah termasuk perabot, pakaian serta kelengkapan dapur. Hanya tinggal pakaian yang dipakai di badan saya serta isteri dan enam anak," kata Edie ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.

Menceritakan tragedi pada 5 Mac 2013 ketika pertempuran antara pasukan keselamatan dengan pengganas Sulu yang sebelum itu menceroboh Kampung Tanduo, pekebun itu berkata, rumahnya menjadi sasaran anggota pengganas untuk berlindung daripada serangan bertalu-talu pasukan keselamatan sehingga akhirnya musnah terbakar.

Menurutnya, selepas sebulan berpindah ke pusat pemindahan di Dewan Fajar Harapan FELDA Sahabat, dia bersama penduduk lain dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas keadaan disahkan selamat dan musuh berjaya ditumpaskan sepenuhnya.

Suasana di Kampung Tanjung Batu yang kini aman damai. - Foto Khairull Azry Bidin

Rumah tinggal tiang

"Sebaik tiba di depan rumah, amat menyedihkan apabila kediaman yang dibina hasil usaha bercucuk tanam hanya tinggal tiang.

"Alhamdulillah, selepas dua tahun peristiwa itu, saya menerima bantuan membina rumah dan syukur pada 2015, rumah siap dibina di tapak yang sama untuk kami sekeluarga tinggal dalam keadaan selesa," katanya.

Mengimbau peristiwa itu, Edie berkata, sebaik dimaklumkan pengganas mula memasuki kampung, dia bersama keluarga terlebih dahulu melarikan diri ke Dewan Fajar Harapan.

"Kami meninggalkan semua barang di rumah kecuali dokumen penting kerana bimbang terserempak dengan pengganas. Mujur kami selamat tiba di pusat pemindahan dan berkampung di situ selama hampir sebulan," katanya.

Tinjauan di Kampung Tanjung Batu baru-baru ini mendapati, keadaan kampung yang suatu ketika pernah kelihatan seperti 'padang jarak padang tekukur', kini berubah apabila kebanyakan rumah yang dulunya musnah, dibina semula dan kelihatan lebih teratur.

Farhana Rashidi, 5, atau lebih dikenali sebagai 'Puteri Daulat' bersama bapanya, Rashidi Inou, 46, melihat keratan akhbar digital mengenai kisahnya ketika ditemui di Kampung Tanjung Batu. - Foto Khairull Azry Bidin

Jalani rutin biasa semula

Begitu juga keadaan keselamatan di Tanjung Labian dan Tanjung Batu yang kini berada pada tahap baik dengan penduduk kembali menjalani aktiviti harian seperti biasa.

Seorang lagi penduduk Kampung Tanjung Batu, Edris Abd Kahar, 55, berkata rumahnya hampir musnah akibat pertempuran antara pengganas dan anggota keselamatan.

"Bumbung dan dinding bocor, manakala beberapa peralatan rumah rosak termasuk almari, televisyen, peti ais dan dapur akibat kesan tembakan. Dengan bantuan kerajaan, Alhamdulillah kerosakan dibaiki namun terpaksa mengeluarkan sedikit wang untuk membeli peralatan rumah dan pakaian," katanya.

Menurutnya, ketika pencerobohan pengganas, dia bersama isteri dan anaknya meninggalkan rumah selepas diarah berbuat demikian.

Penduduk kembali menjalani aktiviti harian seperti biasa. - Foto Khairull Azry Bidin

Hidup lebih tenang

"Selepas diarah berpindah, kami bergegas keluar dan menetap di Dewan Fajar Harapan bersama penduduk kampung.

"Selepas lima tahun kejadian berkenaan, hidup penduduk lebih tenang kerana pasukan keselamatan sentiasa membuat rondaan. Penduduk di sini, menjalani kehidupan seperti biasa dengan aman," katanya.

INFO: Senarai 10 anggota keselamatan yang terkorban ketika pencerobohan

  • Asisten Superintendan Zulkifli Mamat
  • Sarjan Sabaruddin Daud
  • Asisten Komisioner Ibrahim Lebar
  • Deputi Superintendan Michael Anak Padel
  • Sarjan Mejar Abd Azis Sarikon
  • Koperal Mohd Azrul Tukiran
  • Sarjan Mejar Baharin Hamit
  • Sarjan Salam Togiran
  • Koperal Ahmad Farhan Ruslan (anggota ATM)
  • Koperal Ahmad Hurairah Ismail (anggota ATM)


Sumber Tinggal sehelai sepinggang angkara pengganas

Post a Comment

Previous Post Next Post