HANYA kerana perkara kecil iaitu rebut petak parkir, dua pemandu di Singapura dirakam bertumbuk di khalayak ramai.
Lapor portal Stomp, insiden memalukan itu direkod kamera dashcam seorang pemandu lain dalam kejadian di tempat letak kereta di pusat beli belah Chinatown Point.
Menerusi video, pergaduhan tercetus selepas pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyata Vellfire itu meluru keluar kenderaanya dan mengasari pemandu van.
Lelaki berbaju kuning itu kemudian dilihat melemparkan sesuatu sebelum pemandu van terbabit keluar dari kenderaannya lalu bertindak menumbuknya.
Berlakulah aksi tumbuk-menumbuk sehinggakan lelaki berbaju kuning itu dilihat terlantar di lantai, sebelum orang ramai yang berada di lokasi cuba meleraikan pergaduhan mereka.
Namun pemandu Toyota Vellfire terbabit nyata tidak berpuas hati apabila cuba melanggar seorang pejalan kaki, konon memberi ugutan kepada pemandu van berkenaan sebelum dilihat meninggalkan kawasan tersebut.
Rakaman video yang tular di media sosial itu kemudian menerima kecaman netizen tempatan ekoran sikap tidak bertolak ansur pemandu MPV itu, yang nyata cukup mengecewakan.
Sumber: MYNEWSHUB.CC
Sumber Video: Tak nak kalah… rebut parkir sampai tumbuk!