Washington perlu belajar dari China: Global Times

SHANGHAI: Amerika Syarikat harus belajar dari China, jika mereka 'benar-benar' ingin melindungi hak asasi manusia dengan mengawal pemilikan senjata.

Kenyataan itu dikeluarkan akhbar tabloid harian Global Times dalam ruangan editorialnya, hari ini, susulan insiden tembakan rambang di sebuah sekolah tinggi di Florida minggu lalu, yang mengorbankan 17 kakitangan dan pelajar.

Kejadian itu menimbulkan kembali perdebatan mengenai kawalan senjata di negara itu.

"Washington sering menuding jari ke arah negara lain berhubung isu hak asasi manusia, namun semakin ramai rakyat negara itu yang mati akibat ditembak, berbanding jumlah tentera Amerika Syarikat yang terbunuh dalam perang.

"Pemilikan senjata di China memang dikawal dengan ketat dan ia banyak membantu mengurangkan jenayah membabitkan senjata api.

"Jadi, Amerika Syarikat perlu belajar dari China, supaya mereka benar-benar dapat melindungi hak asasi manusia," kata Global Times.

Hak asasi manusia adalah antara isu yang menimbulkan ketegangan hubungan antara dua kuasa ekonomi dunia itu, terutama sejak 1989 apabila Amerika Syarikat melaksanakan sekatan terhadap China susulan tindakan tegas Beijing terhadap penunjuk perasaan pro demokrasi di Dataran Tiananmen. - Reuters



Sumber Washington perlu belajar dari China: Global Times

Post a Comment

Previous Post Next Post