10 Fakta Menarik Sejarah Komik dan Animasi Malaysia Anda Patut Tahu

10 Fakta Menarik Sejarah Komik dan Animasi Malaysia Anda Patut Tahu

Mungkin ramai yang tidak mengetahui sejarah kartun di Malaysia. (Gambar: Star2)

Jika dilihat pada penghasilan karya animasi sekarang, boleh dikatakan Malaysia telah mencapai satu tahap yang boleh dibanggakan.

Buktinya filem BoBoiBoy: The Movie Berjaya mengutip RM16.77 juta, sekali gus menjadi filem kelima teratas yang mencapai jumlah kutipan 'box-office' paling tinggi.

Filem Upin & Ipin juga masih boleh dipuji apabila mengutip RM4.9 juta selepas ditayangkan pada tahun 2016.

Bagaimanapun itu pencapaian dalam bidang animasi. Perkara berbeza pula apa yang berlaku pada industri kartun media cetak apabila dunia penerbitan berdepan dengan cabaran untuk mendapatkan jualan edaran yang tinggi.

Penerbit komik alaf baru seperti GEMPAK juga terpaksa beralih kepada platform digital demi memastikan penghasilan karya komik mereka kekal relevan.

Namun di sebalik segala peralihan ini, adakah anda tahu sejarah penghasilan animasi ataupun kartun di Malaysia?

Jika anda fikir Ujang, Apo? adalah yang terawal memasuki pasaran arus perdana di Malaysia, anda silap! Banyak lagi karya agung yang dihasilkan sebelum itu.

Rojak Daily Skop! berkesempatan mengunjungi Muzium Negara sempena Pameran Kartun dan Kita yang dibuka kepada orang ramai sejak Disember lalu.

Setelah melihat apa yang dipamerkan di sana, ini 10 perkara menarik untuk anda tahu mengenai sejarah kartun di Malaysia.
 
1. SEMUA BERMULA PADA TAHUN 1928

Antara karya terawal negara.
Sejarah penghasilan kartun di negara ini bermula pada tahun 1928 menerusi pelukis Raja Sulaiman. Karya beliau diterbitkan oleh majalah Polis Malaya pada 13 November tahun tersebut.
 
Masyarakat kemudian secara perlahan-lahan mula menerima karya kartun dengan jenaka yang menggambarkan situasi dan masalah penduduk ketika itu.

Seterusnya fenomena kartun ini berkembang pada 1936. Pada tahun itu boleh dikatakan sebagai ‘game changer’ apabila kartun mula mendapat perhatian akhbar tempatan iaitu Warta Jenaka.
 
Untuk makluman, Warta Jenaka adalah sebuah akhbar mingguan yang diterbitkan oleh Warta Malaya Press.
 
Warta Jenaka diterbitkan pada 7 September 1936 dan mengandungi 30 halaman.
 
2. WAK KETUK ANTARA PALING POPULAR DI ZAMAN 30-AN
 
Jika ada atuk atau nenek anda yang masih hidup, mungkin anda boleh bertanyakan mengenai kartun Wak Ketuk.
 
Karakter ini diperkenalkan menerusi akhbar Utusan Zaman pada 12 November 1939.
 
Jika anda terfikir apakah isu atau jenaka yang dibangkitan ketika itu, kartun ini banyak memainkan isu orang Melayu yang diancam kemasukan pendatang asing sehinggkan jumlah mereka mengatasi penduduk Melayu. Kedengaran seperti 2018 bukan?
 
3. MEDIUM PROPAGANDA

Penerbitan pertama di akhbar adalah menerusi Warta Jenaka. 
Pada tahun 1941 sehingga 1945 menyaksikan karya komik diangkat sebagai medium propaganda pemerintahan Jepun.
 
Mereka menggunakan kartun sebagai kempen untuk 'New Order' atau dikenali sebagai Tertib Baru.
 
Ia bertujuan menggalakkan golongan muda terlibat dalam pertanian dan menyertai pasukan ketenteraan seperti di Jepun.
 
Malah, propaganda ini juga bertujuan untuk menjadikan masyarakat fasih berbahasa Jepun.
 
4. ERA KEGEMILANGAN MAJALAH DAN KOMIK KARTUN
 
Tahun 1978 menjadi permulaan dunia komik kartun.

Bermula tahun berkenaan sehinggalah 1990 telah membuka mata pengusaha penerbitan di negara untuk menjana pendapatan lumayan dan keuntungan berganda.
 
Ketika ini muncul beberapa majalah kartun di pasaran. Antara yang popular adalah Ujang, Mat Jenin, Din Beramboi, Apo? dan Gelihati.
 
Dalam tempoh itu juga menyaksikan ramai kartunis generasi baru muncul seperti Ujang, Mie, Aza, Cabai, Boy Pj dan ramai lagi.
 
5. SEJARAH ANIMASI BERMULA DI SINI


Kepada anda yang gemar menonton animasi tempatan, tahukah anda industri animasi kita bermula pada tahun 1946 menerusi penubuhan Unit Filem Malaysia yang kini dikenali sebagai Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS).
 
Animasi pendek pertama pula adalah Hikayat Sang Kancil ditayangkan sekitar tahun 1983.
 
Anda masih ingat, animasi Sang Kancil dan Monyet, Gagak Yang Bijak dan Arnab Yang Sombong? Ia juga antara siri animasi yang diterbitkan di bawah FINAS.

6. MAJALAH KOMIK KE ANIMASI

Bagi memastikan karya-karya hebat yang dihasilkan kartunis tempatan tidak ‘terbenam’ begitu saja, beberapa kartunis turut menukarkan karakter kartun mereka ke dalam bentuk animasi.
 
Antaranya Mat Gelap hasil karya Imuda, Usop Santorian karya Ujang dan Aku Budak Felda oleh Taugeh.
 
Jika anda ke Muzium Negara, anda berpeluang melihat fail asal lakaran cerita animasi Usop Sontorian pada tahun 1996.
 
Fail yang mempunyai lakaran kartun setebal 250 helai inilah yang digunakan bagi tayangan selama 22 minit.

7.  KARAKTER ANIMASI PERTAMA DIBAWA KE LAYAR PERAK

Pelbagai informasi di Muzium Negara.
Tidak lengkap rasanya jika tidak mengangkat karya Mat Gelap. Ini kerana ia adalah karektor animasi pertama dalam filem tempatan.
 
Filem ini menggabungkan watak hidup dan watak animasi. Menarik bukan?
 
Plot filem ini yang mengisahkan seorang penyiasat persendirian membongkar kegiatan satu kumpulan penjenayah yang diketuai Mama Bosan dilakonkan oleh Imuda, Liza Othman, Mano Maniam dan Jit Murad.

8. GEMPAK MEWAKILI KOMIK ALAF BARU PADA 90-AN

Bagi generasi baru, kebanyakan mereka lebih mengenali komik kartun yang dikeluarkan penerbitan GEMPAK.
 
Majalah GEMPAK mula berada di pasaran pada 1998 dan lebih menumpukan eleman 'anime', komik dan permainan video.
 
Antara watak komik popular pastinya lawak kampus yang menjadi kegilaan remaja pada tahun berkenaan. Malah, hingga sekarang karya terbabit masih mendapat sambutan hebat.
 
Bagaimanapun bermula tahun ini, GEMPAK telah pun beralih kepada digital sepenuhnya.

9. PERALIHAN KEPADA ANIMASI

Antara watak kartun animasi yang pernah diterbitkan. 
Pada tahun 1997 pula menyaksikan beberapa watak atau karya komik dialihkan kepada bentuk animasi.
 
Buku Kampung Boy contohnya telah dijadikan siri televisyen animasi 2D. Selain itu Keluang Man dan Bola Kampung turut mengikuti langkah ini.
 
Perkembangan ini seterusnya membawa kepada penghasilan animasi 3D seperti kita dapat lihat menerusi Upin & Ipin dan BoBoiBoy.
 
10. KINI JADI BAHAN SEJARAH
 
Kesemua informasi menarik ini sebenarnya hanya sebahagian daripada apa dipamerkan di Muzium Negara, Kuala Lumpur.
 
Selain maklumat berkaitan sejarah kartun di Malaysia, anda juga berpeluang melihat majalah dan komik yang diterbitkan puluhan tahun lalu.
 
Apa yang menarik perhatian, kesemuanya masih dalam keadaan baik dan dijaga rapi oleh pemilik asal majalah berkenaan.
 
Untuk anda yang masih belum ke Muzium Negara, silahlah berkunjung ke sana sebelum tarikh akhir pameran ini pada 15 April depan.

Pastikan anda kunjungi Muzium Negara sebelum pameran kartun ini berakhir bulan depan.



Sumber 10 Fakta Menarik Sejarah Komik dan Animasi Malaysia Anda Patut Tahu

Post a Comment

Previous Post Next Post