2 kali jatuh terduduk, MCA Rasah terlalu murung untuk PRU?

MCA Rasah nampaknya belum bersedia menghadapi PRU14, kata pengerusi BN di kawasan majoriti Cina itu.

mca-rasah

Gambar Facebook

PETALING JAYA: Jentera kempen MCA di Parlimen Rasah, Negeri Sembilan belum aktif ke tahap menunjukkan mereka bersedia menghadapi pilihan raya umum ke-14.

Begitu pengakuan Pengerusi Barisan Nasional Rasah, Datuk Hasim Rusdi yang mengesahkan MCA sekali lagi akan bertanding di kerusi majoriti Cina itu, selepas 2 kali dipatahkan lawan pada pilihan raya sebelum ini.

hasim-rusdi

Pengerusi BN Rasah Hasim Rusdi cuba merangsang semangat MCA untuk PRU14.

Hasim memberitahu FMT beliau cuba merangsang semangat MCA untuk berusaha dengan lebih berkesan.

Beliau mengadu mereka masih menggunakan “cara lama” untuk memikat pengundi tetapi tidak menghuraikan perkara itu. “Saya nak jentera dia ini mesti bekerja kuat seperti jentera Umno dan kemenangan kita nanti dilihat sebagai luar biasa.”

Beliau berkata MCA seperti terlalu kecewa selepas kalah teruk dalam 2 pilihan raya sebelum ini.

Kali terakhir MCA memegang Rasah adalah 2004, meraih 25,009 undi tetapi diikuti rapat oleh DAP yang selesa dengan 20,446 undi.

Pada 2008, pengundi menolak calon MCA Yeow Chai Thiam untuk Loke Siew Fook daripada DAP, yang meraih 34,271 undi dan majoriti 13,151 undi.

Majoriti DAP meningkat hampir sekali ganda pada 2013, apabila Teo Kok Seong menepis calon MCA Teo Eng Kian dengan majoriti 23,485 undi.

Terletak 3km dari pusat bandar Seremban, sejarah Rasah bermula dengan komuniti pelombong dan perlahan-lahan menjadi perhentian penting di laluan perdagangan bijih timah.

Parlimen Rasah sahaja mempunyai 88,403 pengundi berdaftar (2013) dan 5 kerusi DUN di bawahnya iaitu Labu (15,158 pengundi), Bukit Kepayang (21,799), Rahang (15,144), Mambau (20,541) dan Senawang (15,761).

MCA ada jentera tapi…

Berdasarkan keputusan PRU13, keadaan di lapangannya nampaknya cenderung kepada DAP. Hasim menang di Labu menewaskan calon PAS dengan majoriti 1,511 undi sementara DAP menang di Bukit Kepayang (9,457), Rahang (1,964), Mambau (9,377) dan Senawang (4,805).

“Imej MCA Rasah jatuh kerana majoriti kekalahan mereka terlampau banyak,” kata Hasim.

“Saya cakap dengan MCA tak mustahil rampas kembali Rasah. Pengundi dah sedar tapi MCA belum yakin untuk memperlihatkan wajah jentera mereka. Jentera MCA masih lemah.”

Beliau berkata MCA Rasah mempunyai jentera sama seperti parti komponen lain tetapi tidak menghayati gerak kerja Umno.

“Kalau kita ada Jalinan Rakyat dia ada JR+. Ini dia ada tapi tak menepati kehendak kita,” kata Hasim, merujuk kepada kumpulan banci kecenderungan pengundi.

“Sebab bagi dia JR ini sukar nak diadakan. Kalau JR kita, 1 orang jaga 30. JR dia, 1 orang jaga 50,” katanya.

Beliau menambah Umno juga sedang mengusahakan cara mendekati pengundi Rasah melalui panggilan telefon, dan memberi jaminan akan cuba mendapatkan “sesuatu yang hebat” daripada BN pusat sekiranya MCA berjaya merampas Rasah.

Hasim berkata BN menaruh harapan pada MCA kerana realiti di lapangan menyebabkan Umno tidak mungkin menenangi kerusi itu.

“Cuba tengok keseluruhan pengundi. Melayu 30% sahaja. Kita mati 3 kali tak akan dapat ambil kerusi Rasah.”

DAP yakin pertahan Rasah

Sementara itu, Ahli Parlimen Rasah Teo Kok Seong mengesahkan DAP akan mempertahankan kemenangan PH di Rasah pada PRU14.

Teo berkata DAP akan mempertahankan 4 kerusi DUN yang dimenanginya pada PRU lepas dan akan membantu kempen PH di Labu.

Beliau berkata DAP Rasah fokus untuk membantu memberi seberapa banyak kerusi kepada PH dengan matlamat membentuk kerajaan negeri akan datang.

“Pada masa yang sama kita juga akan memastikan kawan-kawan kita daripada Pakatan Harapan dapat memenangi DUN Labu,” katanya.

Ditanya sama ada beliau akan sekali lagi menjadi calon PH di situ, Teo berkata keputusan itu di tangan kepimpinan pusat.

“Kita sebagai ahli cuma perlu pastikan parti terus menang,” katanya.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



Sumber 2 kali jatuh terduduk, MCA Rasah terlalu murung untuk PRU?

Post a Comment

Previous Post Next Post