KUALA LUMPUR, 12 Mac — Sebanyak 382 kes kesalahan jenayah seksual terhadap kanak-kanak telah didaftarkan di Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak sejak penubuhannya pada Jun tahun lalu hingga Februari tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata sebanyak 314 kes telah diselesaikan dan hanya 68 kes masih tertunggak.
“Jumlah ini menunjukkan bahawa kes-kes tersebut telah diselesaikan dalam tempoh yang singkat iaitu kurang daripada setahun,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Hasan Malek (BN-Kuala Pilah) di persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Azalina berkata mahkamah tersebut juga diperluaskan ke negeri-negeri lain.
Dalam pada itu, katanya kerajaan juga melihat beberapa pendekatan lain termasuk mewujudkan hakim dalam kategori Jusa C dan pendakwa raya tidak dipindahkan untuk sekurang-kurangnya tiga tahun supaya mereka mempunyai pengalaman dan kemahiran dalam mengendalikan kes sedemikian.
Azalina berkata garis panduan khas yang diwujudkan sejak 13 Disember tahun lalu sangat penting bagi memastikan proses pengendalian kes dilaksanakan secara adil.
“Garis panduan ini merupakan satu-satunya diwujudkan dalam sistem mahkamah negara kita… ia akan menjadi panduan seragam kepada semua pihak terlibat bagi membantu kelancaran perjalanan prosiding kes dan memastikan proses pengendalian kes bertepatan dengan prinsip keadilan,” katanya. — Bernama
Sumber 382 kes jenayah seks kanak-kanak didaftar di mahkamah