KUALA LUMPUR, 23 Mac ― AirAsia Bhd melantik pemain bola sepak lagenda Brazil, Roberto Carlos, sebagai duta jenama global terbaharu.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia dan Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Kumpulan AirAsia X, Tan Sri Tony Fernandes, berkata syarikat penerbangan itu amat berbangga untuk mempunyai seorang pejuang dalam barisan duta jenama juara dunianya.
“Tiada siapa yang memiliki semangat berani menggapai cita-cita seperti Roberto Carlos. Dari bermain di jalanan di Garcia dan membuat keputusan menjadi pemain bola sepak profesional pada umur 12 tahun, ke peristiwa sepakan percuma yang menakjubkan menentang Peranchis dan juga memenangi Piala Dunia.
“Beliau menunjukkan bahawa apabila beliau inginkan sesuatu, beliau akan berusaha sedaya upaya untuk mencapainya,” katanya.
Sementara itu, Carlos berkata, pelantikan itu adalah impian yang menjadi kenyataan.
“Di Brazil, kami berkata: ‘Kami lebih menghargai nilai bola sepak kerana kesengsaraan yang telah kami alami.’ Ini menunjukkan bahawa anda boleh berjaya tidak kira latar belakang anda selagi anda percaya pada diri sendiri dan juga bekerja keras,” katanya.
Diberi gelaran “The Bullet Man” kerana sepakan percumanya yang padu, beliau mewakili Brazil dalam kejohanan Piala Dunia Fifa dan sebahagian daripada pasukan yang memenangi Piala Dunia 2002 yang berlangsung di Korea Selatan dan Jepun, kata AirAsia.
Menurut syarikat itu, di peringkat kelab, Carlos bermain untuk Real Madrid dan memenangi empat piala kejohanan La Liga Sepanyol serta Liga Juara-Juara Uefa sebanyak tiga kali pada 1989, 2000 dan 2002. ― Bernama
Sumber AirAsia lantik duta baru, legenda bola Roberto Carlos