KUALA LUMPUR, 17 Mac — Sebahagian bangunan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) terbakar kira-kira 12.15 tengah hari tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 12.30 tengah hari dan empat jentera ke lokasi kejadian bagi mengawal kebakaran.
Tinjauan Bernama mendapati loceng kecemasan masih lagi dibunyikan dan kakitangan hospital terus mengeluarkan pesakit-pesakit dari Jabatan Kecemasan ke kawasan lapang dan selamat.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khirudin Drahman turut dilihat berada di lokasi kejadian dan dijangka mengadakan sidang media di sini.
HKL mengesahkan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dalam insiden kebakaran di stor IPFN.
Dalam satu kenyataan di sini, pengarah HKL Datin Dr Nor Akma Yusuf berkata pengungsian atau evakuasi pesakit, kakitangan dan pelawat dari bangunan berdekatan telah dijalankan mengikut prosedur.
Menurutnya perkhidmatan di HKL juga tidak terganggu dan berjalan seperti biasa.
“Punca kebakaran dan kerosakan masih dalam siasatan pihak berwajib dan maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai tidak membuat spekulasi dan menyebarkan maklumat tidak tepat mengenai kejadian itu. — Bernama
Sumber Bangunan forensik HKL terbakar, pesakit dikeluarkan (VIDEO)