Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana menghentak bayinya yang berusia empat bulan ke lantai sehingga mengalami pendarahan otak dan koma.
Hakim Zaman Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap gelandangan, Mohd Amri Ismail, 29, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah pada hari pertama perbicaraan kes. Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap pada 5 November 2017.
Sebelum hukuman dijatuhkan, Zaman berkata, mesej yang jelas perlu disampaikan kepada masyarakat agar penderaan kanak-kanak tidak menjadi kes yang berterusan.
Berdasarkan pertuduhan, Mohd Amri didakwa cuba membunuh magnsa yang ketika itu berusia empat bulan sehingga menyebabkan pendarahan dalam otak akibat dihentak ke lantai di bilik sewa di Lorong Haji Taib, Chow Kit pada jam 7.30 malam, 4 November 2017.
Mengikut fakta kes, Mohd Amri menjaga anaknya ketika ketiadaan ibu angkat bayi itu dan sejurus selepas ibu angkatnya pulang ke rumah, Mohd Amri meminta wanita itu membawa mangsa ke hospital.
Hasil siasatan mendapati, bapa angkat mangsa mendakwa melihat Mohd Amri mencampak mangsa lalu cuba menghalang perbuatan lelaki itu, tetapi tidak dihiraukan.
Doktor yang memeriksa mangsa dimaklumkan bahawa bayi itu terjatuh. Pemeriksaan mendapati berlaku pendarahan pada otak bayi yang ketika itu berada dalam keadaan koma.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum selama 10 tahun dan boleh dikenakan denda dan jika perbuatan itu menyebabkan cedera kepada seseorang, hendaklah dipenjara boleh sampai 20 tahun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amirah Sariaty Zainal, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, tertuduh yang kelihatan bersahaja merayu mahkamah memberikan hukuman ringan kepadanya dari tarikh dia ditangkap.
Ketika disoal oleh Zaman, adakah tertuduh sedar dengan perbuatannya itu boleh menyebabkan mangsa meninggal dunia, dia menjawab "Saya sedar. Saya menyesal buat anak saya begitu", katanya.
Amirah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang sewajarnya terhadap tertuduh dengan mengambil kira keadaan mangsa yang tidak sedarkan diri ketika dibawa ke hospital.
"Jika bayi itu terlambat dikejarkan ke hospital, ia boleh menyebabkan kematian. Ini adalah kesalahan serius dan sepatutnya sebagai bapa, tertuduh perlu menjaga anak kandungnya dengan baik. Ketika ini terlalu banyak kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak berlaku.
"Di harap hukuman terhadap tertuduh dapat memberikan mesej kepada masyarakat supaya tidak bersikap sambil lewa terhadap anak-anak," katanya.
Sumber Bapa sengaja hentak bayi 4 bulan ke lantai, dipenjara 10 tahun
Tags:
thereporter