Orang Melayu 'mudah terhibur'. (Pic: Google)
Hujung minggu lalu saya berpeluang melepak bersama teman-teman. Entah bila kali terakhir kami berkopi bersama pun saya tidak tahu. Banyak cerita yang dikongsi. Dari hal politik sampailah dunia hiburan. Tapi antara banyak topik itu, ada satu yang melekat di kepala.
Mungkin kerana timbul sedikit perdebatan menyebabkan ianya antara perkara yang saya ingat.
“Apahal Motif Viral tu? Asyik interview benda mengarut je”, komen seorang teman.
“Mengarut macam mana?” tanya saya kembali.
“Ye lah. Banyak lagi kot topik yang viral, video-video tak berfaedah jugak yang diajak masuk tv,” tambah seorang lagi teman.
Entah, saya tidak boleh komen bagi pihak Motif Viral, tapi saya boleh komen daripada pandangan peribadi.
Siapa yang mulakan viral tersebut? Cuba tanya diri sendiri. Saya ambil contoh ‘gadis cendol’ yang viral dan rasanya turut dijemput ke rancangan Motif Viral.
Kalau ikutkan, video tersebut diletakkan oleh teman lelaki beliau di Instagram peribadi. Tidak pula dia letakkan video tersebut di mana-mana portal atau laman web yang punyai jutaan pengikut. Dia hanya letakkan di Instagram beliau.
Siapa yang ‘ambil’ video tersebut daripada Instagram teman lelaki gadis itu dan kemudiannya diviralkan di media-media sosial? Kitalah, orang Melayu!
Video itu tidak akan menjadi viral kalau hanya rakan-rakan di Instagram teman lelaki gadis tersebut yang menontonnya. Tetapi apabila ada orang kita yang suka ‘membawang’ maka tersebarlah video tersebut. Semakin ramai yang berkongsi kerana ingin mengecam dan membuli, maka semakin viral lah video tersebut.
“Don’t make stupid people famous, bro!” tempelak seorang lagi teman.
Jawapan saya mudah. Kalau ianya sudah viral, sebagai sebuah rancangan yang membawa kisah-kisah viral, pastinya pihak berkenaan akan menjemput mereka ke studio. Bukan setakat mereka sahaja, surat khabar online, portal dan sebagainya turut bercerita benda yang sama. Yalah, perkara yang dah jadi viral. Peliknya, bila keluar tv atau di online, ramai pulak yang tak puas hati. Melayu, Melayu!
Banyak kisah hebat yang patut diviralkan tapi tidak pula dikongsi. Ada kisah anak Malaysia pertama lancar satelit NASA. Ada kisah guru yang buat lukisan doodle untuk cantikkan sekolah. Ada kisah anak Melayu pertama raih anugerah World Prize ACCA. Tak banyak pun cerita-cerita ini diviralkan di media sosial. Sebabnya, tidak boleh mengecam! Ya, orang kita memang hebat dalam bab mengecam dan membuli.
Bila zaman kononnya bebas bersuara ini meledak, ramai sahaja yang ingin jadi popular dengan cepat. Popular di laman sosial lebih berharga daripada popular di surat khabar, atau keluar sekejap di kaca tv. Malah, popular di laman sosial boleh buat duit!
Muncullah pelbagai gaya manusia. Ada yang bercakap slang orang puteh kerana kononnya tak pandai cakap Melayu dan macam-macam gaya. Sebagai golongan Melayu ‘mudah terhibur’, orang-orang kitalah yang akan menyebarkan video-video mereka sampai jadi viral.
Jadi jangan salahkan orang lain kalau kita sendiri sebenarnya yang membuat video-video ‘tidak masuk akal’ ini menjadi viral. Untungnya, orang yang diviral ini sudah mampu buat paid review. Jadi sesiapa nak buat paid review, sila DM ya!
Jumpa lagi.
Bila Badrul Bicara
Sumber Bila Badrul Bicara: Anda Yang Viralkan, Anda Pula Yang Marah?