BN akan kaji syarat tambahan punca harga rumah naik di Selangor

Perdana menteri berkata, pemaju rumah turut menyuarakan rasa tak puas hati terhadap syarat tambahan dikenakan kerajaan Selangor yang akan meningkatkan kos pembinaan rumah mampu milik.

Gambar Facebook

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akan mengkaji semua syarat tambahan dikenakan kerajaan Selangor yang menyebabkan kos pembinaan rumah mampu milik di negeri itu meningkat, jika berjaya menawan semula negeri itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata, langkah penetapan syarat tambahan oleh kerajaan Selangor menyebabkan kos pembinaan projek perumahan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) lebih tinggi berbanding negeri lain.

“Kita tak bercadang menambah syarat yang akan membawa kepada kos lebih tinggi dan kalau kita diberi kepercayaan untuk memimpin di Selangor (selepas PRU14) ini, kita akan kaji semula syarat tambahan yang dikenakan kerajaan negeri.

“Bukan sahaja untuk PR1MA, tetapi juga untuk pemaju rumah yang semuanya menyuarakan rasa tak puas hati mereka terhadap syarat tambahan dikenakan kerajaan Selangor yang bagi mereka menambahkan kos pembinaan yang akhirnya rakyat terpaksa menanggung bebannya,” katanya tanpa menjelaskan syarat tambahan itu.

Beliau sebelum itu melawat pameran “Ekspo Jualan Perumahan – Ke Arah Sejuta Impian” Edisi Nasional yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Najib berkata, Pulau Pinang yang juga ditadbir pembangkang turut mengenakan syarat pelik, iaitu mereka yang ingin membeli rumah di negeri itu, perlu mendaftar sebagai pengundi di Pulau Pinang.

Beliau berkata, walaupun terdapat kekangan, kerajaan persekutuan menerusi PR1MA tetap membina rumah dengan harga lebih rendah daripada pasaran bagi memastikan penduduk berpendapatan sederhana di negeri itu mampu memiliki rumah.

Beliau berkata, pelbagai projek perumahan di Pulau Pinang kini dalam peringkat pelaksanaan, termasuk di Permatang Pauh sebanyak 1,017 unit, Batu Ferringhi (1,248 unit) dan Bukit Gelugor (2,387 unit).

“Di tanah besar, rumah dijual pada harga RM250,000 ke bawah, manakala di pulau, ia dijual pada harga RM300,000 ke bawah,” katanya.

Selain itu, Najib berkata, PR1MA berada pada landasan betul untuk memenuhi komitmennya membina 500,000 rumah untuk rakyat.

“Antara projek yang paling laris dari segi permintaan adalah projek di Bukit Bintang.

“Sebanyak 42% daripada 542 unit ditempah dalam hanya 3 hari sahaja. Jadi maknanya, kalau kita sediakan rumah di tempat yang ada permintaan dengan kos sesuai, tak ada masalah untuk rumah dimiliki rakyat.”

Pameran perumahan selama 9 hari anjuran PR1MA itu disertai pelbagai agensi, termasuk Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Syarikat Perumahan Negara Berhad.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



Sumber BN akan kaji syarat tambahan punca harga rumah naik di Selangor

Post a Comment

Previous Post Next Post