Wanita yang didakwa mencederakan pembantu rumahnya dua tahun lalu dijatuhkan hukuman penjara selama lapan tahun oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, lapor Harian Metro.
Hakim Datuk Tun Abd Majid Tun Hamzah menjatuhkan hukuman itu terhadap Rozita Mohamad Ali, 44, yang juga responden selepas mengenepikan hukuman yang dikenakan terhadapnya sebelum ini.
Mahkamah memerintah hukuman itu bermula pada hari ini dan permohonan penangguhan pelaksanaan turut ditolak mahkamah.
Prosiding kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Iskandar Ahmad, manakala responden diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla. Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan pindaan, Rozita didakwa telah menyerang Suyanti Sutrinso, 19, dengan menggunakan sebilah pisau berhulu biru, sebatang mop lantai, sekaki payung, sebatang rod besi berwarna biru, sebatang alat mainan kucing dan penyangkut baju berwarna putih sehingga menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa,
Kejadian itu didakwa berlaku di kediaman Rozita di Mutiara Damansara kira-kira jam 7 pagi dan 12 tengah hari pada 21 Disember lalu.
Akibat dari serangan itu, mangsa cedera di kedua-dua mata, tangan, kaki, organ dalaman, pendarahan beku di bawah kulit kepala, bintik-bintik pendarahan di hadapan otak, patah tulang rahang, pipi serta belikat kiri selain cedera di paru-paru sebelah kanan mangsa yang boleh menyebabkan kematian.
Mangsa kemudian melarikan diri sebelum ditemui oleh pengawal keselamatan dalam keadaan terbaring di tepi longkang dan dibawa ke klinik berhampiran.
Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 15 Mac lalu, mengenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun terhadap Rozita selain membayar jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin, selepas Rozita menukar pengakuannya kepada bersalah. Namun pelbagai pihak tidak berpuas hati dengan hukuman yang dikenakan termasuk Pejabat Peguam Negara yang turut memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah itu.
Netizen juga turut menandatangani petisyen di laman Change.org yang menuntut Rozita dikenakan hukuman yang lebih tegas.
Sumber Cederakan pembantu rumah, Rozita dipenjara 8 tahun
Tags:
thereporter