Enam Jam Perjalanan Dari Hanoi, Gadis Ini Intai Kehidupan Etnik Hmong Di Sapa, Vietnam

Enam Jam Perjalanan Dari Hanoi, Gadis Ini Intai Kehidupan Etnik Hmong Di Sapa, Vietnam

Foto: Nurul Syazana Rose Razman

Vietnam bukan hanya ada Ho Chi Minh City, Da Nang dan Hanoi. Bumi bertuah Vietnam juga mempunyai kawasan tanah tinggi yang menjadi penempatan etnik minoriti Hmong dipanggil Sapa.

 

Gadis berusia 30 tahun ini suka mencari sesuatu yang baru sebagai habuan percutiannya. Nurul Syazana Rose Razman, memilih Sapa, Vietnam kerana tertarik dengan etnik Hmong, sebuah etnik yang wujud hanya beberapa kawasan di dalam benua Asia serta jarang sekali didedahkan oleh media massa.

 Keindahan Sapa, Vietnam.

Menurut Syazana, “Sapa begitu unik di mata saya. Sebulan sebelum pergi, saya membuat beberapa kajian tentang budaya, orang dan kawasan di Sapa yang mudah didapati di Wikitravel.”

  Wanita Hmong tenang menjalani kehidupan mereka.

Etnik Hmong menjalani kehidupan mereka dengan bergantung pada industri pertanian dan kraftangan. Jika dilihat dari segi pemakaian, mereka mempunyai pakaian tradisional yang unik serta begitu mengalu-alukan kehadiran pelancong. Terletak di kawasan tanah tinggi, Sapa mempunyai keindahan sawah padi bertingkat yang dikelilingi gunung-ganang.

 Sempat bersiar-siar di bandar Hanoi sebelum bertolak ke Sapa.

Berdua menjelajahi Sapa Bersama adiknya, Syafeenaz Rose, cara terbaik untuk ke Sapa bermula dari Hanoi. “Dari KL, terbang ke Hanoi dan kemudian naik sleeper bus untuk ke Sapa. Sleeper bus adalah bas yang menggunakan katil dua tingkat. Perjalanan enam jam ke Sapa sangat selesa siap diberi selimut untuk penumpang tidur lena.”

 

“Hasil kajian saya, bas terbaik untuk ke Sapa adalah Sapa Express. Antara perkhidmatan yang ada dalam bas Sapa Express adalah air mineral dan biskut percuma, wifi dan pekerja mereka boleh berbahasa Inggeris, jadi sangat memudahkan komunikasi. Bas akan berhenti di pekan Sapa dan jika korang naik bas malam, bas akan sampai di Sapa pada pukul 3 pagi dan pihak bas benarkan penumpang tidur dalam bas sementara tunggu siang”, jelas Syazana lagi.

 Sapa Express, sleeper bus untuk ke Sapa dari Hanoi.

Jika anda tertanya-tanya dimana tempat untuk membeli tiket bas, anda boleh ke pejabat Sapa Express di Old Quater Hanoi dan di pekan Sapa. Disebabkan tiket bas selalu cepat habis, anda dinasihatkan untuk membeli tiket bas sehari awal dari tarikh perjalanan anda. Mahukan lebih maklumat, anda boleh buka laman web Sapa Express untuk lebih keterangan dan jadual bas.

 

Apa yang menarik di Sapa? Jika anda mahu melihat kehidupan etnik Hmong di Sapa, anda perlu mengikuti Hmong Village Trekking dimana anda perlu mendaki selama lima jam untuk sampai ke kampung mereka. “Cuaca sejuk dan nyaman jadi lima jam tu taklah terlalu penat. Sambil mendaki, korang akan nikmati keindahan gunung-ganang dan sawah padi bukit yang sangat cantik. Sepanjang laluan mendaki ini juga, korang boleh nampak golongan Hmong ini bekerja, sekolah dan melakukan aktiviti harian mereka dengan lebih dekat”, tambah Syazana lagi.

 Lima jam pendakian untuk ke penempatan etnik Hmong.

Selain menikmati keindahan kampung mereka, anda jangan lepaskan peluang ke pasar Can Cau dimana pasar ini merupakan pasar pagi serta tempat pertemuan antara etnik-etnik di Sapa. Dibuka hanya pada hari Sabtu, anda boleh melihat kebanyakkan mereka disini keluar sambal mengayakan pakaian tradional etnik masing-masing.

 Pasar Can Cau, pagi pagi setiap Sabtu untuk tujuan urus niaga dan perjumpaan.

“Di pasar ni, korang boleh beli cenderamata dengan harga yang murah, pelbagai sayuran, buahan serta makanan. Namun, makanan halal sukar dicari dan saya bawa makanan dari Malaysia dan kami masak sahaja”, ujar Syazana.

 Pasar Can Cau turut digelar pasar kerbau.

Selain itu, anda boleh ke kampung Cat Cat untuk air terjun yang sangat cantik. Di kampung ini, anda boleh sewa pakaian tradisional mereka dan bergambar kenangan berlatarbelakangkan pemandangan indah.

 Berkesempatan mencuba pakaian tradisional etnik Hmong.

Tambahnya lagi, “orang Sapa sangat baik dan ramah. Walaupun keadaan mereka tradisional, mereka fasih berbahasa Inggeris dan memudahkan lagi urusan komunikasi kami. Kehidupan mereka cukup tenang. Pertanian dan menjahit adalah punca rezeki mereka. Pengalaman di perkampungan etnik Hmong ini sangat berharga bagi saya sendiri kerana saya dapat merasai kehidupan harian mereka dan membuatkan saya rasa lebih bersyukur dengan kehidupan  saya sekarang.

 Wajah polos wanita etnik Hmong.

Penginapan mudah didapati si Sapa. Anda boleh menempah di laman web dan aplikasi tempahan hotel atau boleh redah sahaja. Kebanyakkan hotel berdekatan dengan stesen bas Sapa, 10 minit berjalan kaki. Di sapa, penggunaan motor dan teksi begitu meluas dan anda juga boleh menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan.

 

Jika anda memilih Sapa untuk destinasi percutian seterusnya, pastikan anda sediakan pakaian yang sesuai kerana suhu boleh mencecah 3 darjah Celsius. Gunakan kasut yang sesuai kerana permukaan kampung di sana berbatu dan berbukit. Jadi, penting untuk anda mementingkan keselesaan dan keselamatan diri. Bawalah bekalan makanan anda sendiri kerana makanan halal agak sukar didapati.

 Pengalaman berharga untuk dua beradik ini.

“Di Sapa, terdapat beberapa golongan etnik yang jarang sekali kita lihat. Inilah punca utama saya memilih Sapa sebagai destinasi percutian saya. Saya berharap korang yang pergi ke Sapa boleh melihat Sapa penuh keindahan dan keunikan”, pesan akhir Syazana.

 

Sumber Enam Jam Perjalanan Dari Hanoi, Gadis Ini Intai Kehidupan Etnik Hmong Di Sapa, Vietnam

Post a Comment

Previous Post Next Post